Pelancongan Sukan Terengganu Kembali Rancak
DUNGUN, 5 November – Sektor pelancongan bertemakan sukan atau ‘Sports-Tourism’ di Terengganu tetap rancak meskipun sedang mengharungi musim Monsun Timur Laut.
Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria berkata, pusat pelancongan rekreasi seperti kelab golf dalam negeri kini beroperasi sepenuhnya dengan maklumbalas pengusaha resort dan padang amat baik.
“Kebanyakkan padang golf juga ditempah penuh pada hujung minggu. Terengganu popular dengan padang-padang seperti di Kelab Golf Bukit Besi, Kelab Golf Dungun dan lain-lain lagi.
“Terengganu terkenal dengan musim monsun di Pantai Timur, ini kerana program dan sambutan memberangsangkan diterima dalam acara lain seperti 4x4 Challenge di Bukit Besi dan Explorace Terengganu Comel 2021 di Kuala Terengganu.
“Insya-Allah pada pertengahan bulan ini juga ada program ASEAN Monsoon Casting, dengan itu jumlah pelawat yang hadir sepanjang musim tengkujuh amat menggalakkan,” katanya ketika ditemu bual pemberita.
Beliau berkata demikian selepas program, Visit Beautiful Terengganu Golf Challenge 2021 di Kelab Golf Bukit Besi, semalam.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pegawai Kewangan Negeri, Zainal Abidin Mohamed.
Sementara itu, Fadli menceritakan, penganjuran Visit Beautiful Terengganu Golf Challenge 2021 amat meriah dengan disertai oleh lebih 200 peserta dari serata negeri.
“Program selama dua hari ini adalah pertama kali diadakan sejak dua tahun disebabkan oleh pandemik COVID-19, Insya-Allah program tahunan ini dapat diteruskan pada tahun hadapan dengan lebih awal lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Juara keseluruhan acara tersebut dimenangi oleh Shazwan Syakir Sobri dari Kedah yang membawa pulang sebuah trofi beserta sebuah televisyen.