Pelita Raya 2025: Satu Kejayaan Walaupun Tersasar Jangkaan Awal
KUALA NERUS, 17 Mac - Festival Pelita Raya 2025 mencatat kehadiran lebih 170,000 pengunjung sepanjang empat hari penganjurannya, satu angka yang masih membanggakan meskipun tidak mencapai sasaran awal lebih 200,000 pengunjung.
Kerajaan negeri melihat kejayaan ini sebagai satu petanda positif dan berazam untuk melakukan penambahbaikan bagi edisi seterusnya.
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan jumlah pengunjung yang dicapai adalah sebagai satu pencapaian yang baik disebalik kesuntukan masa dan kos yang terpaksa ditanggung kali ini.
“Walaupun sasaran asal kita lebih tinggi, kita tetap bersyukur dengan jumlah kehadiran ini. Ini menunjukkan program ini semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat dan pelancong luar.
"Alhamdulillah, pada kali ini kita masih mampu untuk mencapai jumlah pengunjung seramai lebih daripada 170,000 orang dan saya percaya masih banyak lagi ruang-ruang yang boleh kita guna atau laksanakan untuk penambahbaikan.
"Dan salah satu penambahbaikan yang ketara yang kita buat pada tahun ini ialah tempatnya di sini (di Perkarangan Tasik Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak) yang saya rasa memudahkan pengunjung berbanding dengan tempat yang sebelum ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, terdapat beberapa pihak meluahkan harapan agar festival itu dipanjangkan bagi memberi lebih peluang kepada mereka untuk hadir dan merasai pengalaman yang ditawarkan. Dr. Samsuri memberi jaminan bahawa perkara tersebut akan diberi perhatian.
"Kami menerima banyak maklum balas mengenai tempoh festival yang agak singkat, empat hari.
"Jadi, sudah tentulah ini sesuatu yang kita boleh pertimbangkan, walaupun ada kos tambahan yang perlu ditanggung pada tahun ini.
"Insya-Allah, kita akan bersedia dengan lebih awal tahun depan untuk mengadakan program ini serta mungkin dilanjutkan beberapa hari untuk menangani kekurangan waktu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh pemberita selepas menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian hadiah program Peliter @ KSNT bertempat di Perkarangan Tasik Kompleks Sukan Negeri Terengganu Gong Badak, semalam.
Selain mempertimbangkan tempoh penganjuran yang lebih panjang, pihak kerajaan juga akan memastikan penyertaan lebih ramai, termasuklah daripada komuniti setempat dalam festival itu bagi menjadikannya lebih inklusif.
"Kita pun sebenarnya kalau boleh kita nak penyertaan daripada kalangan rakyat, daripada komuniti yang tertentu.
"Kita akan tengok balik supaya tahun depan lebih meriah dan insya-Allah kita akan perkasakan pada tahun depan," ujarnya.