Pelita Raya Kampung Budaya 'Terpadam', Sambutan Masih Luar Biasa
KUALA TERENGGANU, 10 Mei - Program Pelita Raya Beautiful Terengganu 2021 di Kampung Budaya, Muzium negeri terpaksa menutup tirai awal semalam berbanding tarikh asal iaitu 11 Mei selaras dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sehingga 6 Jun.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, keputusan tersebut mengambil kira pengumuman Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan keadaan penularan COVID-19 yang meningkat, baru-baru ini.
“Namun begitu, hasil ‘walkabout’ menyaksikan sambutan sepanjang program amat luar biasa dengan had pengunjung 300 orang pada satu-satu masa dan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard oleh penganjur ke atas pengunjung.
“Pihak kami tidak merasa kesal malah menyambut baik sekatan penularan untuk kebaikan kita semua,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, semalam.
Sementara itu, keputusan pertandingan Pelita Raya Beautiful Terengganu 2021 kategori daerah dan atas-talian akan diumumkan selepas hari raya.
Ketika bertanya tentang konsep penganjuran tersebut, Ariffin menjelaskan, pelita raya melambangkan suasana lebih 50 tahun dahulu yang tiada elektrik.
“Kebanyakan rumah guna pelita dan apabila masuk malam tujuh likur Ramadan, cahaya api menerangi laluan sepertimana asas dilakukan orang terdahulu.
“Penganjuran di Kampung Budaya juga adalah unik kerana suasana budaya dan rumah-rumah lama ditambah seri dengan cahaya pelita menggamit suasana tradisional,” tambahnya.