Aidilfitri Bermakna, 69 Peserta BSA Akhirnya Miliki Rumah Sendiri
Pelita Raya Perasing 'Menyala' Nanti Kepulangan Perantau
KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Bermula malam tadi, kilauan liang-liuk api pelita akan menghiasi hentian Rehat dan Rawat (RnR) Perasing sehingga malam raya sempena program Peliter@ Perasing.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris berkata, dekorasi lebih 1,000 pelita raya itu dipasang bagi menyambut kepulangan anak-anak Terengganu di perantauan yang tidak sempat menikmati kemeriahan program Peliter Raya 2025 baru-baru ini.
"Perasing dipilih kerana lokasinya yang luas dan strategik, selain merupakan sempadan negeri Terengganu dan Pahang.
"Jadi rakyat Terengganu yang tinggal di luar, kami cadangkan apabila pulang singgah di RnR Perasing dahulu untuk berehat.
"Ini lokasi penting untuk kita menyambut tetamu yang datang ke negeri ini. Saya difahamkan tahun hadapan kita akan buat juga di Besut, sempadan Kelantan dan Terengganu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Peliter@Perasing, semalam.
Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan dan Khidmat Pengurusan) Jabatan Pelancongan Negeri (Tourism Terengganu), Mohd Fadhli Jusoh serta Yang di-Pertua daerah Kemaman, Mohd Fadli Yusof Zakaria.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu lagi, apabila di penghujung bulan Ramadan, Tourism Terengganu biasanya akan mengadakan program pelancongan dengan mengagihkan produk tradisional di RnR berkenaan.
"Saya jangka rakyat Terengganu yang berada di luar dan pelancong yang hendak datang, tahu RnR ini merupakan tempat persinggahan untuk merasa suasana hari raya dengan ole-ole dari kerajaan negeri.

"Saya fikir jika pihak media membantu mempromosikan program ini, ia jadi satu daya tarikan dan produk pelancongan bulan Ramadan," ujarnya yang turut berterima kasih kepada media atas kerjasama membersihkan 'stigma' RnR Perasing kepada umum sebelum ini.
Dalam pada itu, Tun Ahmad Faisal menyifatkan, program Peliter@Perasing akan menimbulkan daya tarikan kepada pengguna Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) untuk singgah.
Jelasnya, kerajaan negeri melalui Tourism Terengganu cuba membangunkan RnR Perasing sebagai 'pintu masuk' ke Terengganu dengan memperkenalkan produk-produk tempatan.
"Kami rasa RnR Perasing ini ada banyak potensi untuk dimajukan sebagai lokasi rekreasi dan pelancongan sebab kawasannya luas dengan kemudahan paling lengkap.
"Dahulu, RnR ini agak lesu kerana jauh ke dalam dan tiada pemangkin lain seperti stesen minyak berbanding sekarang.
"Ada juga stigma tempat di sini agak keras, tetapi itu hanya cerita-cerita. Alhamdulillah, selepas kita mula memperkenalkan Perasing sejak tahun 2017, lokasi ini semakin dikenali.
"Kini semua lot gerai sudah beroperasi kecuali dua lot. Maklum balas diterima mereka sudah mendapat pulangan hasil bermakna usaha selama ini telah memperlihatkan hasil," katanya.
Program Peliter@Perasing diadakan Tourism Terengganu dengan kerjasama, UPEN Terengganu, LPT2, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Primula Beach Hotel serta para pengusaha RnR Perasing.