KUALA TERENGGANU, 27 Julai - Rakyat negeri ini diberi peringatan agar mematuhi garis panduan pemakaian pelitup muka ketika berada di masjid dan surau kerana arahan itu masih berkuat kuasa.
Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, M.Rozi Bidin berkata, pemantauan yang dijalankan oleh pihak jabatannya mendapati segelintir ahli jemaah gagal mematuhi garis panduan berkenaan.
"Sehubungan dengan itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) meminta kerjasama semua jawatankuasa masjid dan surau dapat memastikan ahli jemaah yang hadir dapat mematuhi arahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) ini yang masih berkuat kuasa selaras dengan kenyataan media oleh Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
"Sebagaimana yang dinyatakan pada 20 Mac yang menetapkan di para 2(i)(a) Pemakain Pelitup Muka adalah diwajibkan,"ujarnya melalui satu kenyataan.
Sehubungan itu arahan telah disampaikan kepada pegawai agama di setiap daerah.
"Kerjasama dan perhatian semua pihak berhubung perkara ini didahului dengan ucapan terima kasih," katanya.