Zubir berucap pada Majlis Makan Malam Bersama TYT Duta-Duta Sempena Lawatan Familiarisation Ke Terengganu. Foto Harish Fadzillah Kassim |
Program kunjungan 18 duta sempena Lawatan Familiarisation Ke Terengganu memberi peluang kepada kerajaan negeri untuk mempromosi pelbagai lokasi pelancongan dan menarik minat pelabur ke negeri ini.
Sepanjang program tiga hari itu, berakhir esok (17 Mei) delegasi asing dibawa melawat ke tempat menarik, melihat pembuatan produk makanan dan barangan kraftangan di negeri ini.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong, mereka cukup teruja apabila dibawa ke Tasik Kenyir, Santuari Gajah di Hulu Terengganu dan Taman Tamadun Islam, Pasar Payang di Kuala Terengganu.
“Usaha seumpamanya ini nyata dapat memberi gambaran jelas kepada perwakilan asing yang terlibat mengenai sektor pelancongan, kesenian, kebudayaan dan pelaburan di negeri ini.
“Pada masa sama boleh mempromosi kepada pihak lain, terutama agen pelancongan di negara masing-masing.,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Makan Malam Bersama TYT Duta-Duta Sempena Lawatan Familiarisation Ke Terengganu di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu, malam tadi.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.
Zubir berkata, kadar tukaran mata wang asing yang dibawa oleh pelancong antarabangsa ke negeri ini dapat menjana ekonomi kepada masyarakat tempatan.
“Kerajaan negeri berharap kerjasama bersama delegasi asing ini akan berterusan kerana pelbagai manfaat diperoleh,” katanya.
Program julung kali diadakan anjuran Kementerian Luar Negeri itu disertai duta dan ketua perwakilan negara antaranya dari Argentina, Belgium, Maldives, Kemboja, Finland, Fiji, Nigeria, Namibia dan Senegal.