KUALA TERENGGANU, 4 Oktober – Setelah bertahun menanti, Persatuan Hoki Terengganu (THT) telah mendapat insentif berbentuk kenderaan serta geran tanah buat pemain dalam memudahkan urusan pertandingan serta motivasi meneruskan prestasi cemerlang dalam sukan tersebut.
Presidennya, Fikri Harun menyifatkan pemberian oleh kerajaan negeri berupa sebuah Hyundai Starex tersebut merupakan kali pertama berbanding sumbangan kebiasaan berbentuk wang tunai kepada pasukan dan pemain.
“Anugerah besar ini akan dimanfattkan sebaik mungkin kerana kita ada banyak pergerakan melibatkan pertandingan dan latihan persatuan yang boleh dikatakan diantara paling aktif dalam negeri.
“Kami daripada persatuan amat berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada pimpinan negeri di bawah Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Penaung Persatuan, Ir. Saiful Azmi Suhaili,” katanya ketika ditemubual pemberita, hari ini.
Tambahnya lagi, pihaknya sedang giat membuat persiapan dalam kejohanan Piala Razak pada akhir bulan ini dengan tarikh perlawanan dijadualkan pada 10 sehingga 20 November.
“Kami menyasarkan johan dalam merebut piala paling berprestij di Malaysia ini, setelah tiga tahun mendapat naib johan,” katanya lagi.
Sementara itu, seorang pemain berusia 28 tahun, Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sabri berkata, penyerahan geran tanah di Setiu tersebut memberi peluang buatnya bagi mendirikan rumah.
“Insya-Allah ia akan menjadi salah satu motivasi kepada pemain Terengganu khususnya pemain muda supaya memberikan yang terbaik,” katanya yang aktif dalam sukan hoki sejak 18 tahun lalu.
Dalam pada itu, Wan Sukairi menjelaskan, Faiz adalah salah seorang daripada tiga atlet hoki termasuk Muhammad Hafizuddin Othman dan Muhammad Shahiran Zali yang mendapat geran tanah di Rusila, Marang.
“Pemberian geran tanah ini adalah penghargaan dari Kerajaan Negeri Terengganu atas kejayaan mereka memenangi naib johjan Liga Hoki Malaysia dan piala TNB tiga tahun berturut-turut.
“Insya-Allah, besar harapan saya agar pemberian tanah kepada pemain-pemain THT tersebut akan dimanfaatkan sebaiknya untuk membina rumah agar dijadikan tempat untuk keluarga mereka berteduh,” tambahnya.