Pemberdayaan Ekonomi Rakyat Antara Fokus Belanjawan Terengganu 2025

KUALA TERENGGANU, 4 November - Pemberdayaan ekonomi rakyat antara fokus Belanjawan Terengganu 2025 yang akan dibentangkan Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar 18 November ini.

Menurut Ahmad Samsuri, ia termasuklah hal kebajikan dan sebagainya agar rakyat lebih berdikari.

“Jumlah peruntukan Bajet 2025 lebih kurang dengan bajet 2024, tidak jauh beza.

“Untuk tahun 2024, kita telah selesai agihkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penganugerahan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu 2024 yang disempunakan oleh Yang DiPertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail di Wisma Darul Iman, semalam.

Menurut Ahmad Samsuri, Bajet 2025 juga akan mengambil kira pandangan rakyat.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri masih meletakkan 80 peratus bajet negeri bergantung kepada sumber minyak dan gas.

“Memang kita meletakkan kebergantungan kepada sumber minyak dan gas kerana hal itu adalah sejak sekian lama.
“Nak dapat hasil tambahan baru ia bukan mudah, perkara melibatkan undang-undang, termasuklah libatkan enakmen dan sebagainya, ia akan memakan masa,” ujarnya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai status terkini baki royalti yang belum dibayar oleh Kerajaan Persekutuan beliau memaklumkan tiada perkembangan terbaru mengenai isu tersebut.

“Yang adanya adalah, kita dapat kalau kita tuntut di atas keperluan-keperluan yang kita nyatakan dan sekiranya diluluskan tuntutan tersebut, dapatlah.

“Cuma segala pembayaran itu tidak terus kepada akaun kerajaan negeri kecuali yang berkait dengan pembayaran emolumen (gaji) sahaja.
“Kalau kita ada keperluan termasuk bencana dan sebagainya kita akan buat surat, akan ambil masa untuk mereka (kerajaan pusat) buat keputusan,” ujarnya.