Pembinaan jalan dan jambatan menghubungkan Kampung Jeram Tok Kong dan Bukit Guntong, Kuala Terengganu siap sepenuhnya dan mula dibuka kepada orang ramai, hari ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, projek yang menelan kos sebanyak RM225,992,000 itu melibatkan pembinaan jalan baharu sepanjang 5.6 kilometer (km) dan naik taraf jalan sedia ada sepanjang 2.0 km.
“Jalan empat lorong yang dibina sebagai laluan alternatif ini bukan sahaja dapat mengelakkan kesesakan di laluan sedia ada di Jambatan Sultan Mahmud dan jambatan Manir ketika waktu puncak dan musim perayaan tetapi dapat mempercepatkan perjalanan ke Kuala Terengganu.
"Malah, ianya merupakan penghubung penting bagi kenderaan-kenderaan keluar dari Lebuh Raya Pantai Timur 2 ke Kuala Terengganu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Jalan dan Jambatan Dari Kampung Jeram Tok Kong Ke Bukit Guntong di Tapak Projek Jeram Tok Kong, hari ini.
Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri, Ir Rosli Othman dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Terengganu, Ir Abd Hamid Md Daud.