Pemilik Ais Kepal FF Lava Fruitti, Dulu Berpayung Kini Miliki Premis

KUALA NERUS, 25 Mac - Mula berniaga dengan hanya beratapkan sekaki payung dan sebuah meja di Taman Rekreasi Kuala Ibai, Kuala Terengganu sejak tiga tahun lalu, pasangan suami isteri ini kini mampu memiliki premis ais kepal FF Lava Fruitti - Bingjoy.

Pemilik premis produk berasaskan air minuman  itu, Muhamad Hafizol Wahab dan Nur Affiza Sidek mengakui, rutin harian mereka pada ketika itu agak mencabar, terpaksa berdepan  cuaca panas dan musim hujan.

Katanya, kini keadaannya berubah selepas mereka berkemampuan menyewa premis perniagaan di Jalan Tengku Intan Zaharah (depan tapak Pasar Malam Pok TuYu, Mengabang Telipot, di sini.

“FF Lava Fruitti - Bingjoy, hasil resepi yang dicipta sendiri tidak dijangka mendapat sambutan pelanggan terutama golongan belia dan ia mendorong saya membuka premis selain  menambah menu sedia ada.

“Sebelum ini hanya menjual ais kepal dicampur dengan yogurt, strawberi, mangga, anggur, tembikai susu dan kiwi,” katanya.

Menurutnya, atas permintaan ramai yang mahukan kelainan, resepi itu ditambah baik dengan campuran oreo, pisang, boba madu, cornflake dan gula melaka.

“Alhamdullilah sambutan terhadap semua menu itu terutama ais kepal campuran. yogurt  strawberi dan mangga mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, manakala ais kepal oreo menjadi pilihan kanak-kanak.

"Harga yang ditawarkan pula sangat berpatutan serendah RM5 sehingga RM10,” katanya yang dibantu enam pekerja.

Muhamad Hafizol juga berhasrat membuka cawangan di Pusat Bandar Raya Kuala Terengganu berkonsepkan kafe hipster.

“Saya yakin  dengan keputusan untuk melebarkan sayap perniagaan ini, pelanggan pasti bertambah.

“Jika sebelum ini FF Lava Fruitti dapat dijual dalam anggaran 450 hingga 500 bekas sehari, jumlah itu insya-Allah pasti berganda,” katanya.

 


Tag: