Penangguhan Umrah Bukan Keputusan Secara Semberono

MARANG, 9 Januari - Keputusan kerajaan Malaysia yang bersetuju menangguhkan perjalanan umrah bermula 8 Januari (semalam) selama sebulan bagi membolehkan kadar risiko penilaian jangkitan Omicron adalah tepat dengan merujuk kepada pelbagai pakar yang selayaknya.

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, penangguhan umrah itu mengambilkira perolehan maklumat daripada ahli perubatan termasuk dari kerajaan Arab Saudi. 

"Begitulah sepatutnya penangguhan umrah kena tanya ahli perubatan, sekiranya ahli perubatan kata wabak tu merebak, itu hak yang perlu dilaksanakan.

"Memang dalam sejarah Islam, ibadah fardhu ini pernah ditangguh. Solat Jumaat pun pernah ditangguh di Masjid Nabawi dan Mekah juga disebabkan wabak," katanya selepas menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, baru-baru ini. 

Tambahnya yang juga Ahli Parlimen Marang, dalam situasi getir tersebut semua aspek akan diambil kira.

"Kalau nyawa diancam, kepentingan duit kena ditangguhkan dulu. Kerajaan bertanggungjawab menjaga nyawa dulu kerana dalam Islam benda yang perlu kepada manusia ialah agama, nyawa, akal, keluarga dan duit. Duit kemudian sekali," jelasnya.