Penantian Rumah Terbengkalai Padang Setengge Terengganu Bakal Berakhir - MB


HULU TERENGGANU, 20 Mac - Selepas penantian hampir 10 tahun, akhirnya seramai 234 pembeli yang teraniaya dan terlibat dalam isu rumah terbengkalai di Perumahan Mampu Milik Padang Setengge Fasa 3 dan 4 kini mampu mengukir senyuman apabila projek itu akan disiapkan pada awal tahun depan.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya komited untuk menyiapkan projek berkenaan bagi memastikan pembeli mendapat rumah yang siap sepenuhnya.

Katanya lagi, projek ini asalnya adalah projek penswastaan negeri melalui Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu dan pemaju terdahulu tidak dapat menyiapkannya sehingga terbengkalai sejak sekian lama.

"Proses penyelesaiannya dilakukan mengikut undang-undang selepas kes syarikat kontrator terdahulu selesai di mahkamah pada Oktober lepas.

"Selepas kes diselesaikan, pihak kami berbincang dengan melantik kontraktor baharu yang akan memulakan kerja-kerja awal pada April dan dijangkan mengambil masa  lapan hingga 12 bulan untuk disiapkan," ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan ke tapak projek perumahan Padang Setengge, sempena program MB Mari Kampung Kite di Kuala Berang, di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato' A. Rahman Yahya, Setiausaha Politik Menteri Besar, Muhyiddin Abd Rashid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said @Mat Ali.

Menurut Ahmad Samsuri, keputusan baharu  ini telah dibuat dan beliau akan memastikan ianya tidak bercanggah dengan undang-undang yang ada termasuk tidak membebankan pembeli dengan kos tambahan.

"Anggaran kos pembaikian 234  buah rumah terbengkalai ini antara RM8.5 hingga RM10 juta bergantung kepada keadaan rumah dan keperluan. Bagi memastikan projek ini berjalan mengikut prosedur, kita akan lantik konsultan untuk memantau perjalanannya supaya dapat disiapkan tanpa masalah.

"Tidak ada kos tambahan yang dikenakan kepada pembeli  dan semuanya akan ditanggung oleh kerajaan negeri melalui pihak Lembaga Tabung Amanah Warisan," katanya lagi.

Difahamkan, projek di kawasan perumahan Padang Setengge bagi fasa tiga dan empat itu dilaksanakan secara berperingkat bermula sekitar 2011 melibatkan 234 unit rumah dan berdasarkan jadual, pemaju sepatutnya menyerahkan kunci kepada pembeli pada Ogos 2014 namun gagal dilaksanakan.

Sebanyak lebih 100 unit rumah di Fasa 4 selepas itu ditinggalkan terbengkalai oleh sub-kontraktor dalam keadaan 75 hingga 80 peratus siap kerana kegagalan SePurnama sebagai kontraktor utama projek tersebut dalam melunaskan hutang kepada sub-kontraktor yang telah melaburkan sebahagian besar modal untuk menyiapkan projek perumahan tersebut.

Akibat dari itu, berlakulah saman-menyaman di antara sub-kontraktor dan kontraktor utama sehingga mahkamah memutuskan kontrak kepada SePurnama batal dan syarikat tersebut diisytihar muflis oleh insolvensi dan yang menjadi mangsa adalah pembeli yang terpaksa menanggung beban.


Tag: