Jalur Gemilang
Berita :
Pendakwah Perlu Fahami Realiti Masyarakat Majmuk
Pendakwah Perlu Fahami Realiti Masyarakat Majmuk
Mohd Haniff Abas
1 hari yang lepas
97

KUALA TERENGGANU, 27 September – Para pendakwah perlu memahami realiti masyarakat serta menguasai pendekatan yang berhikmah dalam menyampaikan mesej Islam, khususnya dalam mendepani masyarakat majmuk.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, pendekatan dakwah tidak boleh hanya bergantung kepada penyampaian ilmu secara teori, sebaliknya perlu disertai kefahaman terhadap realiti masyarakat dan kebijaksanaan dalam berinteraksi.

Menurutnya, perkara berkenaan antara pengisian yang diberi perhatian dalam Liqa’ Daie Rabbani, Terengganu Cinta Rasul yang berlangsung di Dewan Auditorium, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu pada 24 september lalu.

Katanya, perbincangan berkaitan Siyasah Syar’iyyah dan Fiqh al-Muwatanah (fiqh kewarganegaraan) amat relevan dalam konteks masyarakat Terengganu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, budaya dan pegangan agama.

“Islam mengajar kita tentang keadilan, amanah, ihsan, penjagaan hak dan menghormati sesama manusia.

“Maka, kefahaman terhadap konsep kewarganegaraan dan kehidupan masyarakat majmuk perlu dibina atas asas ilmu dan kefahaman yang tepat, bukan berdasarkan stigma, emosi atau persepsi semata-mata,” katanya.

Beliau berkata, program yang menghimpunkan para ilmuwan, pendakwah, asatizah dan masyarakat itu turut menjadi medan memperkukuh ilmu, mengeratkan silaturahim serta menyemarakkan usaha dakwah dan pembangunan ummah.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Pengarah Yayasan Amanah Tok Kenali, Ustaz Zulqarnain Hassan dan Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr Aminurraasyid Yatiban atas kesudian berkongsi ilmu dan menyampaikan pengisian dalam program tersebut.

Beliau turut berharap Liqa’ Daie Rabbani dapat menjadi medan untuk para pendakwah memperbaharui kefahaman dan memperkukuhkan kesatuan, selain melahirkan pendakwah yang dekat dengan masyarakat serta mampu menyantuni mereka dengan penuh hikmah.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan