Pendapatan Golden Pharos Melonjak 36 Peratus

KUALA TERENGGANU, 1 Disember - Pendapatan syarikat pembalakan milik Kerajaan Negeri Terengganu, Golden Pharos Bhd (GPB) melonjak naik sebanyak 36 peratus kepada RM18.8 juta pada suku ketiga tahun 2020 berbanding RM13.8 juta pada suku yang sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Nadza Abdul berkata, peningkatan itu direkodkan selepas syarikat mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM3.6 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2020.

"Pengeluaran balak yang meningkat, peningkatan prestasi pemprosesan kayu balak, penggunaan pakej stimulasi yang efektif dalam menangani isu ekonomi syarikat ketika berlakunya pandemik COVID-19.

"Dalam suku ketiga tahun ini, segmen pembalakan meningkat sebanyak 72 peratus kepada 10,716 hektar per tan berbanding 6,246 hektar per tan tahun lalu. 

"Peningkatan ini berikutan ketidaklewatan kelulusan lesen penebangan balak, pengurusan kontraktor penebangan yang berkesan dan cuaca yang baik sepanjang tempoh aktiviti pembalakan diadakan," katanya  dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, jelasnya, berdasarkan kepada peningkatan balak yang ditebang, sektor perkayuan dan venir juga meningkat.

"Di mana pendapatan bagi sektor tersebut meningkat sebanyak 14 peratus dan keuntungan sebelum cukai adalah 203 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu," ujarnya.

Nadza Abdul menjelaskan, GPB juga mendapat manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh Perdana Menteri di mana syarikat tersebut menerima program subsidi berjumlah RM1.4 juta bagi keenam-enam syarikat di bawah GPB bermula Mac sehingga September 2020.

“Syarikat menganggarkan kerugian sebanyak RM24 juta akibat daripada pandemik. Tetapi dengan pakej rangsangan ekonomi serta pengurangan kos yang dijalankan oleh syarikat, kami optimis bahawa tahun ini sebenarnya adalah tahun yang lebih baik berbanding tahun 2019,” katanya.