Pendidikan Konservasi Tuntung Laut Melalui Produk Pelancongan
SETIU, 24 Oktober - Program konservasi tuntung laut adalah di antara produk pelancongan komuniti unik yang terdapat di Kampung Mangkuk dan Kampung Baru Penarik.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, kawasan sungai di sekitar itu menjadi tumpuan penetasan tuntung laut dan sungai.
“Namun begitu, uniknya di sini berbanding Hulu Terengganu dan Kemaman, tuntung di sini adalah dua alam di mana mereka hidup di muara sungai dan laut,” katanya ketika ditemubual semalam.
Menurut Pegawai Biologi Lapangan, Projek Setiu Wetlands daripada Tabung Alam Sedunia (WWF)-Malaysia, Muhammad Zaid Nasir, pihaknya bersama exco pelancongan telah melepaskan 74 ekor anak tuntung laut di Sungai Mangkuk berhampiran Kampung Baru Penarik, semalam.
“Kerja pengutipan telur ini telah dijalankan WWF Malaysia dengan sokongan Jabatan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) sepanjang pantai Setiu.
“Oleh itu, pihak kami bertanggungjawab dalam menyelamatkan telur spesis terancam ini dan hantar ke pusat penetasan untuk proses pengeraman sehingga 100 hari, kemudian setelah menetas ia akan dilepaskan di sini,” jelasnya.
Menceritakan tentang latar belakang spesis haiwan reptilia yang bercengkerang tersebut, Zaid menerangkan, sebelum ini tuntung laut dapat ditemui hampir di semua negeri di Malaysia namun sekarang ianya hanya boleh ditemui di beberapa buah negeri sahaja kerana populasinya yang kian terancam.
"Di Terengganu, mereka hanya dapat ditemui di Sungai Paka dan Sungai Setiu dan kini dikategorikan sebagai Sangat Kritikal di dalam Senarai Merah Spesis Terancam IUCN.
“Perancangan pada masa hadapan agar sebuah pusat informasi tuntung laut di Kampung Mangkuk dapat disediakan sebagai pendedahan dan pendidikan kepada masyarakat umum tentang kepentingan menyelamat spesis haiwan ini,” katanya lagi.