Penduduk Kampung Tepus Gempar Gajah Masuk Kebun

Keadaan kebun pisang yang dimusnahkan oleh gajah.
Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN - Penduduk Kampung Tepus, gempar semalam sejurus dimaklumkan pemilik kebun bahawa kebunnya dimasuki gajah.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Haji Ghazali Sulaiman berkata, beliau segera ke tempat tersebut menemui pemilik kebun.

"Saya segera ke sini selepas dimaklumkan berkenaan kejadian ini pagi tadi.

"Terlihat jelas tanaman pisang dan sawit dimusnahkan dan penemuan najis gajah adalah bukti yang jelas," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu meninjau keadaan kebun itu, semalam (11 September).

Menurut pemilik kebun, Hamad Zabir Hassan, 25 batang sawit dan lebih 50 batang pisang telah dibaham gajah.

"Memang penduduk di sini mengusahakan tanaman pisang, termasuk saya.

"Jadi kami amat risau dengan kejadian yang terjadi ini," jelasnya.

Sementara itu, menurut Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tepus, Khairul Iskandar Zubir, sudah enam tahun kebun penduduk tidak dimusnahkan gajah.

Beliau berterima kasih di atas tindakan segera Penyelaras DUN, Haji Ghazali Sulaiman yang bertindak segera menelefon Pejabat Perhilitan Daerah Dungun.

"Buat sementara waktu ini, pemilik-pemilik kebun akan berjaga malam di kebun dengan persiapan beberapa laras pucuk senapang, mercun bola dan sebagainya bagi menghasilkan bunyi bising," jelasnya.

Langkah yang diambil itu adalah sebagai isyarat kepada gajah bahawa adanya pemilik kebun itu.

"Kita akan adakan solat hajat agar perkara ini tidak berlanjutan dan menjadi ancaman kepada penduduk setempat," tambahnya.

Tag: