• 13 Nov 2024 | 11 Jamadil Awal 1446

Penduduk Kg Kemat Kini Trauma Setiap Kali Hujan Lebat

HULU TERENGGANU, 13 Januari - Rata-rata Penduduk Kampung Kemat berada dalam keadaan trauma setiap kali berdepan keadaan hujan lebat ekoran kejadian banjir kilat yang melanda kawasan itu semalam.

Berkongsi cerita, Mohammad Sahari Musa, 58, berkata ini merupakan kali ketiga berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) apabila kediamannya dinaiki air setiap kali hujan lebat susulan limpahan sungai berdekatan.

Katanya, hujan lebat bermula jam 3.00 petang semalam mengakibatkan berlakunya limpahan air Sungai Kemat dan Por yang membawa lumpur serta menyebabkan rumahnya dimasuki air setinggi 1.2 meter.

"Trauma, penat, sedih, tertekan dan pelbagai perasaan yang bercampur baur setiap kali hujan lebat melanda..memang tak senang duduk dan mula bersiap sedia apa yang patut.

"Macam semalam, saya sempat memindahkan barangan elektrik seperti mesin basuh dan peti sejuk serta pakaian ke atas bahu jalan yang lebih tinggi dari rumah kerana tidak menanggung risiko kerugian seperti sebelum ini.

"Tiga kali banjir, tiga kali pindah..saya menanggung kerugian hampir RM100 ribu yang sukar dijelaskan dengan kata-kata," ujarnya ketika ditemui di kediamannya di Kg Kemat hari ini.

Tambahnya, banjir pada awal tahun lepas adalah yang terburuk kerana air naik mendadak sejak jam 3.30 pagi dan menenggelamkan rumah di kawasan ini serta banyak barangan tidak sempat diselamatkan.

"Ketika banjir besar pada Februari tahun lepas, air mencecah tiga meter dan kami hanya tinggal sehelai sepinggang malah hasil kebun seperti pokok pisang dan pokok limau nipis turut musnah teruk.

"Kali kedua pula pada Disember baru-baru ini, rumah kami ditenggelami air hampir dua meter..sekali lagi menanggung kerugian kerosakan harta benda dan hasil tanaman," jelasnya yang menetap bersama lima lagi ahli keluarga di situ.

Mohammad Sahari berkata disebabkan terkesan dengan kerugian yang dialami, kini hanya membeli perabot plastik untuk kegunaan mereka sekeluarga.

Tambahnya, keadaan sungai yang cetek adalah punca utama berlaku banjir di kampung tersebut dan kejadian ini mampu berulang lagi kerana hujan lebat hanya tiga jam  mengakibatkan banjir

Justeru itu, pihaknya berharap supaya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dapat mendalamkan kawasan sungai dan parit di kampung berkenaan.

"Sungai-sungai di kampung ini banyak yang telah cetek menyebabkan pasir naik ke atas dan menyebabkan limpahan air setiap kali musim tengkujuh," ujarnya.

Sementara itu, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kemat Kamaruddin Ali berkata, berikutan kejadian banjir itu, seramai 71 mangsa daripada 23 keluarga terpaksa di pindahkan ke PPS di kampung itu yang dibuka pada jam 7 petang semalam.

Menurutnya, mangsa terdiri daripada masing-masing 22 lelaki, 28 wanita dewasa, 12 kanak-kanak lelaki dan enam perempuan, dua Orang Kurang Upaya (OKU) dan seorang bayi.