Penduduk Tagih Klinik Kesihatan Pulau Redang Beroperasi Sebelum Tengkujuh
Penduduk di Pulau Redang berharap Klinik Kesihatan Pulau Redang dapat beroperasi sebelum musim tengkujuh ini, bagi memastikan mereka dapat memanfaatkan kemudahan itu dengan selesa dan lancar tanpa perlu meredah lautan untuk ke tanah besar.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru, Pulau Redang, Roky Amin, berkata difahamkan penyerahan klinik pada Oktober dan mungkin hanya akan beroperasi pada tahun depan.
"Bagaimanapun, memadangkan sudah menghampiri musim tengkujuh, kami berharap Jabatan Kerja Raya(JKR) dapat menyerahkannya segera kepada Jabatan Kesihatan supaya dapat kami gunakan secepat mungkin.
"Klinik kesihatan ini sangat diperlukan penduduk terutama pada musim tengkujuh dari November hingga Mac, laut bergelora dan angin kuat. Jika ada penduduk yang sakit, mereka tak boleh dibawa ke tanah besar dalam keadaan cuaca yang tidak baik begitu," katanya kepada pemberita selepas ditemui sempena Program Tadabbur D'Redang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil di Pulau Redang.
Seorang penduduk, Lokman Omar,44, berkata mereka amat berharap klinik itu segera beroperasi kerana banyak masalah melibatkan kesihatan penduduk di pulau berkenaan dapat diselesaikan tanpa perlu dibawa ke tanah besar.
“Selama ini jika berlaku kes kecemasan termasuk melibatkan kemalangan dalam kalangan penduduk atau pelancong, mereka terpaksa dikejarkan ke tanah besar untuk mendapat rawatan sempurna yang memakan masa dan boleh membahayakan nyawa mereka sepanjang meredah laut.
“Di samping itu, sepanjang musim tengkujuh antara Oktober hingga Mac, masalah perhubungan terjejas apabila keadaan laut bergelora, menyukarkan mereka untuk mendapatkan rawatan termasuklah pengangkutan helikopter kerana angin kuat,'' katanya.
Bagi Nor Asiah Hashim,36, dia merasakan klinik itu amat perlu kepada masyarakat di Pulau Redang terutama kaum ibu mengandung yang menghidap kencing manis dan darah tinggi kerana perlu berulang-alik lebih kerap bagi mendapatkan rawatan dari doktor pakar.
"Mereka ni terpaksa mendapatkan rawatan di Klinik Batu Rakit,Tanah Besar dan kos kebiasaannya hampir RM100 setiap ulang alik. Ini sangat membebankan pesakit yang tidak berkemampuan jadi besar sangat harapan kami agar klinik ini dapat beroperasi dengan segera," katanya lagi.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman berharap agar pihak-pihak berwajib yang berkaitan dengan penyerahan klinik kesihatan agar segerakan proses untuk keselesaan penduduk pulau.
"Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan yang telah membina klinik ini dengan pelbagai kemudahan cuma saya minta segerakan proses penyerahan demi kebajikan penduduk di pulau ini,"kata Bazlan lagi.
Untuk rekod projek di kawasan seluas 0.23 hektar berhampiran jeti pelancong yang dimulakan pada April 2014, kini telah siap sepenuhnya.
Projek pembinaan bernilai lebih RM10 juta termasuk kelengkapan ini terdiri daripada satu blok dua tingkat yang menempatkan Klinik Pesakit Luar, Unit Kecemasan dan Unit Wad Sementara bagi kes-kes tidak serius termasuk 14 buah katil di samping empat unit kuarters kakitangan di tingkat atas.