lightning-solid
Berita :
Penemuan Gajah Liar di Kijal Gemparkan Penduduk
Penemuan Gajah Liar di Kijal Gemparkan Penduduk
Muhammad Fakhruddin Bin Nordin
19 jam yang lepas
52

KEMAMAN, 15 Julai – Seekor gajah liar disyaki berkeliaran di sekitar Bukit Awana, Kijal hari ini sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, operasi menangkap gajah liar itu perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin.

"Dari pihak kami, sedia membantu Jabatan Perhilitan dari segi penyediaan kemudahan penempatan dan sokongan logistik.

"Saya tidak mahu isu ini berlarutan sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan warga Kijal untuk menjalani aktiviti harian dan keluar dari kediaman masing-masing," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi media selepas menerima maklumat kejadian tersebut.
Operasi menangkap gajah liar itu sedang dijalankan oleh Jabatan Perhilitan Daerah Kemaman selepas pihak berkenaan mengesahkan bukti kehadiran haiwan tersebut.

 Penemuan kesan kehadiran gajah liar itu dilaporkan sekitar jam 7.00 pagi tadi.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ternampak kelibat gajah liar berkenaan.

 Tindakan segera daripada orang awam amat penting bagi memastikan keselamatan penduduk serta kelancaran operasi yang sedang dijalankan.


Tag :

Artikel Berkaitan