lightning-solid
Berita :
Kerajaan Negeri Sedia Tangki Simpanan Air Pulau Redang, Bantu Penduduk Hadapi Gangguan Bekalan
Kerajaan Negeri Sedia Tangki Simpanan Air Pulau Redang, Bantu Penduduk Hadapi Gangguan Bekalan
Ahmad Zaeem Zainudin
6 jam yang lepas
89

KUALA NERUS, 15 Julai - Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif menyediakan sistem tangki simpanan air di beberapa lokasi strategik di Pulau Redang sebagai penyelesaian jangka pendek bagi membantu penduduk berdepan gangguan bekalan air yang kerap berlaku akibat kerosakan paip dasar laut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, inisiatif itu merupakan tindakan susulan selepas isu paip bocor di atas Pulau Redang berjaya diselesaikan bulan lalu, selain bertujuan memastikan penduduk masih mempunyai bekalan air bersih ketika saluran utama daripada Syarikat Air Terengganu (SATU) terputus.

Beliau berkata, sebanyak empat tangki air berkapasiti 600 gelen (2,271.25 liter) dan sebuah tangki besi berkapasiti 1,500 liter ditempatkan di beberapa lokasi sesuai untuk kegunaan penduduk, selain dilengkapi dua pam air serta sebuah generator yang disumbangkan Kerajaan Negeri.

"Kita pada pagi ini mari ke Pulau Redang untuk menyelesaikan permasalahan yang berlaku di Pulau Redang daripada dulu lagi, iaitu bekalan air SATU banyak kali berlaku paip pecah di tengah-tengah laut.

"Jadi kita buat tindakan sikitlah walaupun tidak boleh nak menyelesaikan sepenuhnya," katanya pada sidang media selepas meninjau pemasangan sistem tangki simpanan air di Pulau Redang, hari ini.

Menurut beliau, empat tangki tersebut ditempatkan di beberapa lokasi umum yang bersesuaian bagi memudahkan penduduk mendapatkan bekalan air ketika berlaku gangguan.

"Setakat ini kita bawa empat tangki dulu kita letakkan di beberapa lokasi yang sesuailah untuk masyarakat kampung ini ambil air di kawasan itu," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Dalam pada itu, Shafizi turut menegaskan bahawa penambahan tangki akan dilakukan mengikut keperluan bagi menjamin keselesaan penduduk di pulau yang juga merupakan antara destinasi pelancongan ikonik Terengganu.

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata, kemudahan itu merupakan penyelesaian segera sementara menunggu projek penggantian paip dasar laut dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

"Yang penting rakyat di kawasan ini boleh selesalah dengan adanya bekalan air bersih untuk mereka.

"Sementara kita nak tunggu peruntukan yang diturunkan sebagaimana Kerajaan Negeri dah putuskan, kita sedia ini dulu untuk permulaan bagi keselesaan mereka," ulasnya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulau Redang, Mat Adek Mohd Amin menyambut baik inisiatif berkenaan yang disifatkan mampu mengurangkan kesukaran penduduk ketika bekalan air terputus.

Katanya, walaupun kapasiti tangki sedia ada masih belum mencukupi sepenuhnya untuk menampung keperluan kira-kira 402 rumah dalam tempoh sehari, ia sekurang-kurangnya menyediakan bekalan kecemasan sekiranya sumber air dari tanah besar tergendala.

"Saya selaku Timbalan Pengerusi JPKK sangat-sangatlah berbesar hati. Apa yang saya putus dalam majlis mesyuarat baru ini dapat dilaksanakan pihak Yang Berhormat DUN Batu Rakit.

"Saya mewakili rakyat Pulau Redang amat-amat berterima kasih walaupun tidak seberapa, dari semasa ke semasa kita akan minta lagi supaya Kerajaan Negeri mengadakan supaya tangki air ini cukup untuk penduduk Pulau Redang.

"Kalau saat dia putus air memang susah, terutama sekali musim kemarau. Kalau tak ada air SATU ini lagilah susah untuk penduduk di Pulau Redang," katanya.

Mengikut perancangan, pihak JPKK akan menggunakan pam air bersama generator untuk mengepam air bukit ke dalam tangki simpanan sekiranya bekalan daripada SATU tergendala.

Mohd Shafizi turut memaklumkan pihaknya akan mengusahakan pembinaan sebuah takungan berhampiran sumber air bukit bagi memperkukuh jaminan bekalan air kepada penduduk dalam masa terdekat.

Inisiatif kerjasama antara Kerajaan Negeri dan SATU itu turut menerima sentuhan sumbangan kepakaran daripada Kolej Vokasional, dimana platform tangki disediakan oleh SATU manakala kerja pemasangan pam pada tangki 1,500 liter di Balai Raya Pulau Redang dilaksanakan oleh peserta Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TVET.

Seramai 44 pelajar bersama kira-kira 20 tenaga pengajar Kolej Vokasional terbabit dalam program CSR selama tiga hari tersebut yang turut melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan penyaman udara, elektrik (pendawaian), kimpalan, pembinaan serta perkongsian ilmu bersama pelajar di Pulau Redang.

Mengulas kerjasama itu, Mohd Shafizi berkata ia dimanfaatkan bagi menjayakan usaha yang memberi manfaat terus kepada penduduk.

"Kebetulan KV (Kolej Vokasional) datang ke pejabat kita untuk menyediakan khidmat CSR kepada penduduk Pulau Redang, jadi kita ambil peluang sekalilah untuk jayakan projek kita ini.

"Antaranya di masjid baiki penghawa diingin dan di balai raya banyak perkara jugalah kita baiki, tandasnya dan seumpama dengannya," katanya.

Antara lokasi lain yang menerima manfaat daripada CSR tersebut adalah Klinik Kesihatan Pulau Redang serta enam buah kediaman yang khususnya melibatkan bantuan pendawaian.


Artikel Berkaitan