Penerima Dos Penggalak Di Terengganu Meningkat

KUALA TERENGGANU, 19 Januari – Sejak pelaksanaannya pada tahun lepas, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Penggalak (Booster) (PICK-B) di Terengganu menunjukkan peningkatan dari segi penerima dan sambutan meskipun melaporkan kadar ketidakhadiran temu janji yang tinggi.

Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu (JKNT), Dato Dr Kasemani Embong berkata, sehingga semalam, seramai 241,745 orang telah disuntik dos penggalak mewakili 32 peratus daripada 753,900 orang yang layak menerimanya.

Menurutnya, kadar ketidakhadiran melalui tarikh di aplikasi MySejahtera di Terengganu lebih 60 peratus, namun pihaknya optimis ia dapat diatasi menerusi usaha penyenaraian nama penerima sandaran serta pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ‘walk in’.

"Sehingga hari ini Terengganu mempunyai 81 PPV di seluruh negeri supaya capaian dan kemudahan dapat diakses oleh masyarakat, peningkatan jumlah pusat ini melibatkan 39 buah PPV adalah kategori swasta, dua PPV daripada hospital swasta, 10 PPV luar kawasan, 24 PPV klinik kesihatan, enam PPV hospital.

“Ini menjadikan kapasiti keseluruhan 12,809 ribu suntikan sehari, ditambah lagi dengan 3 PPV luar kawasan bermula 24 Januari di Kemaman akan menjadikan kapasiti pemberian dos penggalak di dalam negeri sehingga 13,000 dos sehari.

“Pada peringkat awal, suntikan harian hanya mampu mencapai sehingga 1,000 sehari, namun kebelakangan ini sambutan orang Terengganu berjaya mencapai kadar 7,000 sehari,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, pagi tadi.

Tambah Dr Kasemani, pihak JKNT turut mengadakan inisiatif menerusi PPV outreach bagi mendekati dan memudahkan urusan imunisasi penduduk di kawasan pedalaman.