SETIU, 25 September - Mana-mana penganjur sebarang program termasuk yang ingin mengadakan aktiviti membabitkan himpunan diingatkan agar tidak menyembunyikan acara tertentu daripada pengetahuan pihak kerajaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan. Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, sikap penganjur menyembunyikan agenda program mengakibatkan berlakunya perkara yang tidak diingini sehingga orang ramai tidak senang dengan apa yang berlaku.
Ujarnya, adalah penting untuk pihaknya mengetahui secara terperinci mengenai konsep dan aturcara setiap program yang ingin diadakan seperti konsert atau persembahan pentas.
"Saya sebelum ini dah bercakap kepada mana-mana penganjur yang hendak buat apa-apa pun aktiviti di Terengganu, ia mesti melalui proses dan ia tidak akan ambil masa yang lama.
"Contoh terbaik adalah bagaimana kita meluluskan program 'Jom Heboh' tengok macam mana dengan aktiviti persembahan ketika ia diadakan di Terengganu mengikut segala prosedur dan garis panduan hiburan yang telah ditetapkan setelah mengetahui dengan jelas segala penerangan yang kita berikan barulah ia diadakan serta dipromosikan secara besar-besara,
"Kerana ada pihak penganjur yang belum datang berjumpa dan berbincang dengan pihak kita telah mengadakan promosi terlebih dahulu bahawa mereka akan mengadakan program di Terengganu, akibatnya netizen akan lihat promosi yang diadakan itu dia menyatakan bahawa kita dah lulus, sedangkan belum lulus dan tiada sebarang perbincangan," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja di Pulau Redang, di sini semalam.
Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato' Rosli Latif dan Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman.
Mengulas lebih lanjut, Razali berkata pihak kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran garis panduan yang telah ditetapkan.
"Kita juga tidak akan teragak-agak untuk bertindak keras jika ada penganjuran program atau hiburan tanpa melalui kita sebagaimana kita pernah bertindak terhadap Parti Aloha sebelum ini, kita akan saman semaksima mungkin.
"Namun ia bukan cara untuk menambahkan pendapatan kita tetapi ia merupakan peringatan agar mana-mana pihak dapat mengikuti SOP yang ada di negeri ini," ujarnya.