Pengayuh Beca, Duta Kecil Pelancongan Terengganu

KUALA TERENGGANU, 8 September- Kerajaan negeri dengan kerjasama Tourism Malaysia Wilayah Timur berhasrat meluaskan usaha mempromosi pelancongan Terengganu melalui pengiktirafan pengusaha-pengusaha beca di sekitar Kuala Terengganu sebagai duta kecil dalam usaha membantu industri tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman menyatakan, jika mengambil kira faktor kemasukan pelancong ke dalam negeri, pengangkutan beca sebenarnya boleh jadi sumber pendapatan baru kepada generasi muda jika dilaksanakan dengan kaedah terbaik.

Ariffin dan Hafiz menyampaikan baju Tourism Malaysia kepada salah seorang pengusaha beca.

"Pada masa ini, kita ada seramai 48 pengusaha beca berdaftar dan sekitar 20 orang yang masih aktif. Sebenarnya, berikutan faktor umur rata-rata yang ada memang dalam usia 60-an ke atas dan ada yang telah meninggal dunia.

"Insya-Allah, kita akan bincang untuk naik taraf beca ke arah lebih baik, namun mengekalkan keunikannya yang ada," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Pakaian kepada Pengayuh Beca Kuala Terengganu di Pasar Payang 2, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin berserta wakil-wakil pengusaha hotel dan pelancongan negeri.

Tambahnya, kerajaan negeri juga pernah merangka usaha untuk menempatkan beca di Tasman Tamadun Islam serta mewujudkan laluan khas untuk pengunjung menikmati pengalaman menaiki beca.

"Semua ini dalam perancangan. Setakat ini, laluan beca adalah di Pasar Payang dan sekitar bandar sahaja.

"Sebenarnya, inisiatif terutama sekali dari segi inovasi telah dilakukan dan di Jabatan Pelancongan Negeri kta sudah ada beberapa basikal elektrik, tetapi generasi lama tak sesuai dengannya dan kebanyakan mereka lebih suka kepada konsep asal yang ada," katanya.

Ariffin melihat keadaan beca-beca di Pasar Payang.