Pengayuh Beca Gembira Kerajaan Bagi RM200 Sebulan
KUALA TERENGGANU, 14 Jun – Rata-rata pengayuh beca di negeri ini gembira dengan keputusan kerajaan negeri yang akan menyalurkan bantuan bulanan bernilai RM200 bermula Julai.
Asmat Muhammad, 73, berkata sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dia tidak lagi berkayuh membawa pelanggan seperti dahulu.
“Kami hanya duduk berehat sahaja, ini membuatkan kami hilang mata pencarian,” luahnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam.
Asmat atau mesra disapa Mat berkata, kariernya sebagai pembawa pelancong di kawasan Pasar Payang bermula sejak 1974.
"Bermula dari situ kami mendapat rezeki yang agak baik untuk menyara keluarga, namun sejak COVID-19 melanada, kami mengalami penyusutan kewangan kerana ketiadaan pelancong tempatan apabila sempadan daerah dan negeri ditutup.
“Sekarang ini kita termenung sahaja, sebelum ini (PKP) kebiasaannya sehari ada boleh sehingga RM40 dengan pelanggan sehingga 10 orang, kebanyakkan daripada hotel yang ingin pergi ke Pasar Payang.
“Sekarang punca rezeki saya selama empat dekad ini memang terjejas, boleh kira hampir tiada pelanggan langsung,” katanya.
Mengulas mengenai bantuan bulanan yang diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman, semalam, Asmat mengakui dia sangat bersyukur.
“Alhamdullilah, dengan bantuan oleh Exco pada hari ini (semalam) dan sebelumnya ada juga, ia dapat meringankan beban membeli barangan dapur untuk empat orang anak bersama isteri di Flat Bukit Kecil, Kuala Terengganu.
“Saya berharap supaya virus ini terhapus, dan jalan (sempadan) dapat dibuka kembali seperti biasa,” katanya lagi.
Terdahulu, Kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan sebanyak RM27,200 kepada dua golongan tersebut sebahagian daripada Program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (Berkat) PKP 2.0 (Sektor Pelancongan), awal tahun ini.