Pengundi Harus Bijak Buat Penilaian

Ahmad Razif berucap di hadapan kira-kira 5,000 pengunjung. Foto Tengku Syamim Tengku Ismail
Pengundi muda, terutama pengundi baharu berdaftar yang bakal mengundi buat kali pertama dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 tahun nanti harus bijak membuat penilaian terhadap maklumat bermotif politik yang disebar luas atau menular dalam media sosial.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pengundi muda banyak terdedah dengan pelbagai maklumat dan mereka mesti faham mana maklumat yang betul dan mana maklumat yang salah.

Katanya, golongan itu sememangnya banyak menggunakan saluran  media sosial berbanding mendapatkan maklumat melalui akhbar mahupun media elektronik.

“Oleh itu, mereka perlu ingat maklumat melalui media sosial kebanyakannya berbaur fitnah, suka menghasut dan paling ketara menjadi saluran  untuk menghentam apa yang dilaksanakan kerajaan.

“Perbuatan itu jelas menyalahi undang-undang, buruk akibatnya sekiranya menghebahkan apa yang tidak benar, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang dan berdepan hukuman penjara,”katanya,

Ahmad Razif berkata demikian dihadapan lebih 5,000 penonton yang hadir pada program Menteri Besar Bersama Pengundi Muda DUN Seberang Takir, Kuala Nerus, malam tadi.


Tag: