Berita :
Ketegangan Geopolitik Iran-AS Ubah Landskap Legislatif, Kata Mohd Nor
Ketegangan Geopolitik Iran-AS Ubah Landskap Legislatif, Kata Mohd Nor
Adli Mohamad
1 jam yang lepas
58

KUALA TERENGGANU, 21 April - Ketegangan geopolitik melibatkan Iran dan Amerika Syarikat, selain konflik lain di beberapa wilayah, mendorong banyak parlimen di dunia meluluskan undang-undang keselamatan, peruntukan pertahanan dan sekatan ekonomi, sekali gus memperluas kuasa eksekutif dalam situasi krisis.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Mohd Nor Hamzah, berkata perkembangan semasa di peringkat antarabangsa memperlihatkan trend legislatif yang semakin jelas, dengan undang-undang digunakan sebagai instrumen strategik bagi menghadapi cabaran global.

Menurutnya, dunia juga sedang berdepan gelombang perundangan baharu yang menyentuh soal teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan perlindungan data, selain undang-undang berkaitan perubahan iklim yang memberi kesan langsung kepada ekonomi global.

“Keseluruhannya, perkembangan ini menggambarkan bahawa fungsi legislatif hari ini semakin kompleks, bukan sahaja dalam mengimbangi kuasa dalam negara, tetapi juga sebagai alat penting dalam menentukan kedudukan dan kepentingan negara di pentas antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Mohd Nor berkata, jika perkembangan antarabangsa itu diteliti dengan cermat, ia selari dengan titah Pemangku Raja Terengganu yang menekankan keperluan mempertingkat kecekapan tadbir urus serta mutu perkhidmatan kepada rakyat.

Katanya, pendekatan berasaskan kecanggihan teknologi, khususnya AI, perlu diperkasakan secara lebih tersusun dan menyeluruh agar pentadbiran negeri mampu bergerak seiring dengan perubahan semasa.

“Penggunaan teknologi ini mampu menjadi pemangkin kepada transformasi pentadbiran ke arah sistem yang lebih cekap, responsif dan berorientasikan rakyat,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan