Pengusaha Aiskrim Terima Peralatan Perniagaan

KUALA TERENGGANU, 26 September – Empat unit peralatan perniagaan dengan anggaran kos RM20,000 telah disumbangkan kepada seorang pengusaha perniagaan aiskrim melalui Geran Agropreneur Muda daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi diiringi oleh Pengarah FAMA Negeri Terengganu, Nukman Hashim dan Ketua Unit Agropreneur Muda FAMA Negeri Terengganu, Azizie Mohd.

Pengusaha Aiskrim Harmoni, Muhammad Mohd Rosle, 24, menzahirkan rasa syukur setelah menerima sumbangan itu kerana ia dapat membantu mengembangkan lagi perniagaan tersebut. 

“Sebelum ini saya hanya menggunakan modal duit sendiri, jadi untuk mengembangkan perniagaan ini agak susah dengan modal yang terhad.

“Saya rasa bersyukur dengan sumbangan yang saya terima ini dan insya Allah akan dimanfaatkan sebaiknya,” kata Muhammad ketika ditemui pemberita. 

Beliau yang mengusahakan perniagaan aiskrim berjenama Aiskrim Harmoni telah memulakan perniagaan tersebut sejak tahun 2019.

Menurutnya lagi, produk aiskrim tersebut setakat ini hanya dipasarkan ke 3 buah kedai dan sebuah pasaraya yang terletak di Losong. 

Antara hasil produk Aiskrim Harmoni

“Selain itu juga, saya ada menyediakan perkhidmatan katering untuk sebarang majlis seperti majlis perkahwinan dan sebagainya. 

“Perancangan saya pada masa akan datang ingin meluaskan lagi pasaran perniagaan ini dan membuka sebuah kafe aiskrim,” katanya.

Muhammad menerangkan sebagian proses pembuatan aiskrim