HULU TERENGGANU, 28 Februari - Sekumpulan pemandu bot peranginan termasuk pengusaha dari Pulau Kapas mengambil langkah proaktif mengangkut dan memindahkan mangsa banjir yang terperangkap di sekitar Kuala Berang.
Pengusaha Bot Syarikat Makcik Gemok Boat Servis, Alif Imran, 32 berkata, sejurus melihat video dan gambar tular di media sosial, dia bersama 16 orang pemandu bot lain bergegas ke kawasan kampung terjejas di daerah itu.
“Setelah tiba di Kampung Tanjung Putat bersama dua bot besar dan satu bot kecil, kita terus tolong mana-mana penduduk tempatan yang belum dipindahkan bersama pihak berkuasa dan sukarelawan tempatan.
“Ini adalah pertama kali kita menggunakan aset untuk bantu mangsa banjir, bezanya berbanding membawa di ombak lautan amat ketara dengan arus lebih deras dan keadaan air tidak menentu.
“Bermula sejak 11 pagi tadi, kita akan teruskan kerja sukarelawan ini berdasarkan keadaan dan keperluan, keadaan sekeliling amat menyayat hati dengan komuniti setempat hilang tempat berteduh, sehingga kini kita telah mengangkut lebih 11 buah keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual pemberita di Kampung Lebak, petang semalam.
Jelas Alif, pihaknya juga akan terlibat dengan kerja pengagihan bantuan makanan dengan menggembleng semua aset dengan semua kos ditanggung sendiri.
Sementara itu, seorang penduduk Kampung Lebak, Ariffin Osman menggambarkan banjir di kawasan kampungnya dan Hulu Terengganu sebagai yang paling teruk pernah dilaluinya sejak 49 tahun menetap di sini.
“Sepanjang saya tinggal di sini tidak pernah lagi alami kesulitan dan ujian besar ini, dengan keadaan air dan hujan serta terputus hubungan semua dalam waktu serentak.
“Namun begitu, saya bersama 30 orang lagi skuad sukarelawan melibatkan Polis Maritim Marang, dan sukarelawan 4x4 Marang dengan 15 buah jentera bot sedang bertungkus lumus memindahkan semua mangsa dan mencari mana-mana yang tertinggal,” jelasnya.
Menurut Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa, banjir luar biasa yang melanda di daerah ini bukan berpunca daripada pelepasan air Tasik Kenyir namun ia disebabkan taburan hujan lebat secara berterusan sejak Khamis lalu.