KUALA TERENGGANU, 3 Julai - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menasihatkan para pengusaha serta pihak-pihak yang terlibat dengan ibadah korban pada hari raya Aidiladha nanti supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang pelaksanaan ibadah tersebut.
"Berikutan garis panduan dan SOP terbaru yang dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu (MAIDAM) Terengganu baru-baru ini, saya amat mengalu-alukannya.
"Namun, saya memohon semua pihak mematuhi SOP terutama berkenaan ibadah korban nanti supaya kita mahu dalam beribadah kita juga membantu terus mengekang penularan ini," katanya.
Beliau yang juga merupakan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu yang ditemui ketika melakukan tinjauan ke kandang lembu di Kampung Tasek, semalam turut memuji kesediaan pengusaha dalam mematuhi SOP tersebut.
"Setakat ini, para pengusaha lembu tidak banyak rungutan tentang SOP, kebanyakannya akur dan mereka memahami bahawa peraturan sebegini bukan sengaja mahu menyusahkan, tetapi mahu menjaga keselamatan semua pihak.
"Hari ini, saya meninjau kandang lembu milik Ariffin Idris, antara pengusaha yang dilibatkan sama dalam pembentukan SOP berkenaan ibadah korban di waktu pandemik. Jadi, SOP yang dibuat bukan kita memandai-mandai dalam keadaan tidak mengambil kira pandangan pengusaha, sebaliknya melibatkan banyak pihak," katanya.
Beliau turut menasihati masyarakat supaya mengekalkan kepatuhan dalam usaha melawan pandemik ini.
"Kita bersyukur dengan kebenaran yang dikeluarkan MAIDAM sempena Aidiladha nanti, sebelum ini ramai yang bertanya tentang ibadah korban samada jadi atau tidak dilaksanakan.
"Menjadi hasrat kerajaan, seboleh mungkin kita tidak mahu ibadah yang sangat penting kepada umat Islam ini tertangguh kerana kekangan Covid-19. Sudahlah kita tidak boleh mengerjakan ibadah haji kerana masalah tertentu, sekurang-kurangnya ada ibadah yang boleh dilaksanakan khusus untuk hari raya nanti," katanya.