• 08 Nov 2024 | 06 Jamadil Awal 1446

Peniaga Bazar Ramadan Diminta Tidak Jual Makanan Basi

KUALA NERUS, 19 Mac - Kerajaan negeri meminta peniaga bazar Ramadan di Terengganu agar tidak menjual makanan dan kuih muih basi kepada orang ramai yang berkunjung ke gerai mereka sepanjang Ramadan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Dr Alias Razak berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap  peniaga yang menjual makanan basi dan tercemar  sekali gus membahayakan kesihatan orang ramai yang membeli makanan daripada mereka di bazar Ramadan.

Menurut beliau, pihaknya  tidak mahu  kejadian kes keracunan makanan yang berlaku setiap tahun sehingga ada mengakibatkan kematian berulang dan mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan tegas termasuk denda dan gerai perniagaan mereka akan  ditutup serta merta.

“Kalau kesalahan besar, kita akan arahkan tutup serta merta dan jika ada yang boleh dinasihat… kita nasihat sebab kita  pun nak jaga  juga lagipun  masing masing  nak cari rezeki.

“Mungkin dia buat tanpa sedar jadi  kita nasihat untuk  perbaiki  kesalahan  tu tapi kalau nampak ada orang dah terpaksa masuk wad kerana makan di kedai dia itu maka terpaksa  tutup 14 hari untuk pulih balik kebersihan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program  Consumer funwalk sempena hari pengguna kebangsaan 2023 di Kuala Nerus, semalam.

Katanya , makanan lebihan pada hari sebelumnya tidak sepatut dijual semula bagi mengelak mereka menjual makanan basi dan tercemar 

Tambah  beliau peniaga yang didapati bersalah menjual makanan basi boleh didenda maksimun RM10,000 dan dua tahun penjara di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Dr Alias  turut mengingatkan pengusaha gerai supaya sentiasa menjaga kebersihan dan bertanggungjawab terhadap kesihatan dan keselamatan makanan dijual kepada pengguna dengan memastikan makanan mereka tidak basi.