• 15 Nov 2024 | 13 Jamadil Awal 1446

Peniaga Lagun Kuala Ibai Mula Operasi Di Tapak Baru





Tengku Noruzawati sedang menyediakan pesanan pelanggan gerainya. 
KUALA TERENGGANU, 13 Januari - Para peniaga yang membuka gerai di tapak baharu berhampiran kawasan rekreasi Kuala Ibai, di sini bermula semalam berharap agar mereka dapat mengulangi hasil jualan sebagaimana sebelum-sebelum ini.

Rata-rata peniaga yang ditemui Urus Setia Darul Iman (UPDI) berpendapat, perubahan yang diputuskan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) itu bertujuan memberi kebaikan jangka panjang kepada mereka.

Antaranya, peniaga Pisang Goreng Cheese K.E, Tengku Noruzawati Tengku Jaafar, 35, menyifatkan keputusan itu membolehkan para peniaga mendapat tempat yang lebih selesa untuk menjual barangan terutamanya makanan.

“Dari segi keselesaan, selesa di sini. Dari segi orang ramai pula, memanglah ramai di sana. Tetapi, kalau fikirkan semula, jika orang memang nak membeli orang akan datang juga ke sini.

“Terima kasihlah kepada kerajaan negeri dan MBKT kerana beri peluang kepada peniaga untuk meneruskan jualan,” katanya ketika ditemui di lokasi berkenaan, semalam.

Tambahnya, ini kerana pihak MBKT tidak mengenakan sebarang cas sewa tapak kepada mereka untuk berniaga di situ.

Mohd Fairul yakin, tapak baharu itu akan diserbu pengunjung yang datang nanti.
Perkara itu diakui Mohd Fairul Ibrahim, 36, yang menjual Ayam Goreng Cheese Leleh. Katanya, sebelum ini juga memang tidak pernah dikenakan sewa.

“Selama kami berniaga di sini memang tidak pernah bayar. Buat masa ini, MBKT suruh meniaga dahulu sebulan kerana mereka hendak lihat perkembangannya.

“Setakat ini, peniaga tiada masalah berurusan dengan MBKT. Mereka cuma suruh jaga bahagian sampah, kebersihan sahaja,” jelasnya.

Menurutnya lagi, sudah menjadi kebiasaan sekiranya tapak baharu akan menimbulkan rasa tidak puas hati kerana hasil jualan yang berkurang.

“Biasalah tapak mula-mula ini memang perlahan sedikit. Insya-Allah kalau ramai peniaga di sini orang akan datang. Mula-mula memang begini di mana-mana pun. Percaya pada rezeki,” katanya.

Tengku Faizul (dua dari kanan) dan rakan peniaga lain akan memanfaatkan peluang yang diberikan.
Manakala Pengerusi Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Lagun Ibai, Tengku Faizul Tengku Mohd, 32, berkata, sebahagian besar peniaga sudah memulakan perniagaan di tapak baharu sejak ia berkuatkuasa awal pagi semalam.

“Terima kasih kepada MBKT kerana beri tapak secara percuma selama sebulan. Kita akan tengok keadaan jualan sebulan awal ini dan kami akan lakukan yang terbaik atas peluang ini.

“Kepada pengunjung-pengunjung yang datang ke Lagun Kuala Ibai selepas ini, harap dapat datang ke gerai-gerai kami di tempat baharu ini sebelum beriadah di taman rekreasi,” katanya.

Kawasan tapak perniagaan baharu lebih luas dan tersusun turut memudahkan pengunjung yang datang membeli.
Sementara itu, Penolong Pengarah Perlesenan MBKT, Hama Hakim Wahyudi Awang memaklumkan, perubahan itu dilakukan berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan (Akta 171) yang memperuntukkan larangan berniaga di dalam kawasan rekreasi.

“Perubahan tempat ini telah dirancang lebih setahun. Bemula dengan beberapa aduan yang diterima oleh pengunjung, kami juga telah mengadakan tinjauan berkala melalui medium atas talian serta di lapangan dan mendapati 76 peratus responden bersetuju tapak perniagaan itu dialih ke tapak baharu.

“Ia berdasarkan beberapa faktor iaitu keselesaan pengunjung yang berekreasi, memudahkan untuk menyelia keselamatan peniaga dan pengunjung kerana kawasan itu dipenuhi pokok-pokok besar serta kebersihan kawasan,” jelasnya.

Dimaklumkan, MBKT juga dalam usaha memulihkan kembali fungsi kawasan Lagun Kuala Ibai sebagai kawasan rekreasi sebagaimana selayaknya serta secara berkala membantu mempromosikan tapak baharu perniagaan di situ.

Setakat tinjauan semalam, sebanyak 32 daripada 56 peniaga yang telah dipindahkan sudah membuka gerai dan terdapat beberapa pengunjung juga telah mula datang membeli.

Mohamad Hafizul dan isteri, Nur Affiza antara peniaga yang membuka jualan pada hari pertama di tapak baharu.


Tag: