Peniaga Lemang Kijal Bersyukur Diberi Peluang Berniaga di RNR Kijal

KEMAMAN, 29 Mac – Peniaga lemang Kijal melahirkan rasa syukur setelah diberi peluang berniaga di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Kijal hasil inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris.

Salah seorang peniaga, Aini Faizah Botok, 42, yang meneruskan warisan perniagaan keluarganya sejak 35 tahun lalu, terharu sokongan yang diberikan oleh ADUN Kijal.

“Kami peniaga lemang Kijal di Jalan Lama ingin mengucapkan terima kasih kerana memberi peluang kepada kami untuk berniaga di RnR Kijal.

“Ini peluang besar untuk kami mengembangkan perniagaan kami," katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Kiosk Lemang Kijal di Hentian Rehat Kijal, semalam.

Tambah Aini, lokasi yang diberikan jugak sangat strategik kerana tempat ini sering menjadi tumpuan orang ramai dari dalam dan luar negeri.

“Kami menyediakan pelbagai makanan tradisional seperti lemang, serunding, sambal, sata, dan rendang,” katanya.

Sementara itu, Noraini Abdullah, 59, berkata peluang ini sangat bermakna, terutama bagi peniaga muda yang ingin meneruskan legasi keluarga dalam bidang perniagaan,

"Saya berharap inisiatif ini dapat memperkenalkan tradisi lemang Kijal kepada generasi sekarang.

“Bagi anak-anak perantau yang pulang ke kampung, bolehlah singgah ke gerai Lemang Kijal di RnR Kijal ini," ujarnya.

 


Tag: