• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Penjawat Awam Perlu Elak Budaya ‘Yes Boss’

Dato' A. Rahman Yahya berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di WDI hari ini.
KUALA TERENGGANU, 19 Disember - Penjawat awam di negeri ini diingatkan supaya membudayakan pemikiran di luar kotak kebiasaan dan mempunyai kreativiti dalam menyampaikan perkhidmatan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya berkata, dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan, mereka seharusnya mengambil inisiatif berfikir di luar kotak bagi memastikan hasil serta kualiti kerja terbaik untuk memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan rakyat.

Dengan cara tersebut katanya, penjawat awam akan sentiasa berada di depan dalam usaha meningkatkan daya saing dan memastikan perkhidmatan awam terus relevan dan unggul.

Di samping itu katanya, penjawat awam juga perlu mengelak budaya ‘Yes Boss’ agar dapat melicinkan lagi pentadbiran negeri.

Sebagai penjawat awam, kita perlu menunaikan amanah Allah dengan sebaik mungkin. Tidak boleh lagi berkelakuan mengikut apa yang dibuat oleh orang terdahulu, maksudnya kita bukan lagi ‘Yes Boss’, sebagai penjawat awam kita hendaklah sentiasa mempunyai idea baru.


“Jangan takut dan segan untuk menyatakan idea kita kepada pihak atasan kerana tidak semestinya idea bos itu betul, mungkin gabungan dua idea lebih baik tetapi ianya hendaklah dilakukan dengan cara yang berhemah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Bulanan Wisma Darul Iman (WDI), di Dewan Besar WDI hari ini.

Beliau juga menyeru seluruh penjawat awam agar bersama-sama bertanggungjawab dalam memikul amanah dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Buatlah sesuatu kerja atau tugasan itu bermula dengan cara yang betul agar pengakhirannya juga adalah hasil yang betul,” ujarnya.


Tag: