KUALA TERENGGANU, 2 April - Kerajaan negeri akan mempergiatkan usaha membanteras 'geng plastik hitam' melalui pelbagai usaha dan pendekatan bagi mewujudkan kesedaran kepada golongan terbabit sepanjang Ramadan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, cadangan bagi mengadakan operasi secara besar-besaran telah dikemukakan kepada Pegawai Penguatkuasa Syariat untuk mengerakkan usaha ini dengan mengenal pasti kawasan yang menjadi 'hot spot'.
"Tindakan yang bakal diambil nanti akan mewujudkan perasaan takut terhadap undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan melalui enakmen syariah takzir yang sedia ada di mana orang yang tidak berpuasa boleh dijatuhkan hukuman sebagaimana yang telah ditetapkan.
"Di samping kita mencadangkan pada setiap Jumaat supaya pihak masjid memberikan peringatan kepada jemaah mengenai perkara ini dalam masa yang sama beberapa program juga telah dirangka untuk kita turun padang dan mengadakan 'street dakwah' bagi bertemu masyarakat.
"Kita akan pastikan pada kali ini tidak akan ada lagi tempat atau kawasan yang akan menjadi sarang dan tumpuan untuk melakukan perbuatan ini, biasanya kawasan yang menjadi pilihan adalah perkampungan non-Muslim," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir menyempurnakan perasmian Program Aspirasi Keluarga Malaysia TerengganuFM Sempena Hari RTM Ke-76, di Jabatan Penyiaran Negeri Terengganu, Bukit Pak Apil, di sini, pada semalam.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Terengganu, Sabri Mansor.
Mengulas lanjut katanya, operasi yang diadakan itu akan turut melibatkan kerjasama jawatankuasa masjid mengikut ketetapan enakmen sedia ada.
"Semoga dengan ini tidak akan ada pihak yang cuba mencipta alasan untuk tidak berpuasa tanpa uzur syarie kerana sudah tentu pihak masjid sudah mengenali penduduk setempat, walau bagaimanapun nasihat akan diberikan dahulu sebelum dikenakan hukuman.
"Pada kebiasaan yang ditangkap adalah golongan muda, kadang-kadang yang terlibat itu adalah 'mat gian'. Bagi memastikan tidak berlaku sebarang perkara tidak diingini daripada tindakan yang diambil, kita juga akan bekerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRRM).
"Kita doakan agar perancangan ini berjalan dengan lancar, kita akan memainkan peranan untuk memberikan kesedaran menyeluruh kepada anggota masyarakat agar dapat mencegah dan menyekat daripada terus berlaku," ujarnya lagi.