KUALA TERENGGANU, 20 September- Penubuhan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terenganu (MAIDAM) disifatkan mencapai sasaran ditetapkan dengan tiga pencapaian utama sepanjang 75 tahun meneraju hal ehwal Islam di negeri ini.
Pencapaian MAIDAM dikongsi Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Sambutan 75 Tahun MAIDAM yang disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, semalam.
Tiga pencapaian utama tersebut meliputi aspek tadbir urus zakat, tabdir urus wakaf dan baitulmal selain keberkesanan organisasi melalui penguatkuasaan undang-undang, pemantapan tadbir urus dan integriti serta komunikasi strategik.
Katanya, dalam aspek tadbir urus zakat MAIDAM berjaya meningkatkan jumlah kutipan dari semasa ke semasa.
"Jika sepuluh tahun yang lalu, kutipan zakat di Terengganu sekitar RM100 juta dan kini meningkat melebihi RM260 juta. Begitu juga dengan agihan zakat yang telah melonjak daripada RM78 juta pada sepuluh tahun yang lalu dan agihan melebihi RM260 juta," ujarnya.
Menurut beliau, pemerkasaan zakat diteruskan dengan agenda pendigitalan termasuk memperkenalkan sistem e-zakat MAIDAM, e- Amil, aplikasi Sahabat MAIDAM dan lain-lain.
"Usaha ini telah membolehkan MAIDAM meraih pelbagai anugerah seperti Anugerah Zakat Kebangsaan Tahun 2023 bagi dua kategori yang mengiktiraf peranan MAIDAM dalam pembangunan asnaf.
"MAIDAM juga telah menubuhkan Yayasan Pendidikan MAIDAM pada 19 September 2014 untuk meningkatkan keberkesanan kecekapan agihan dan zakat pendidikan/fisabilillah dan pada tahun lalu agihan zakat pendidikan/fisabilillah adalah sebanyak RM68 juta," jelasnya.
Dalam pada itu katanya, MAIDAM turut komited dalam aspek tadbir urus wakaf dan baitulmal.
"Usaha awal yang bermula dengan wakaf tradisi seperti wakaf kubur, masjid dan surau dan wakaf zuriat telah mulai dipelbagaikan sekarang kepada wakaf pendidikan, kesihatan, sosial dan ekonomi termasuk wakaf korporat.
"MAIDAM memperkenalkan Dana Wakaf Tunai Terengganu pada tahun 2007, pelbagai inisiatif wakaf kontemporari termasuklah wakaf- wakaf muaqqat sedang
dirancang seperti pengenalan produk kewangan Islam berciri wakaf," katanya.
Tambah beliau, tadbir urus baitulmal juga diperkasakan dari semasa ke semasa. Ini terbukti menerusi kewujudan Wisma
MAIDAM dan Muassasah Gadaian Islam Terengganu mulai 1982 yang menjadi contoh tauladan seluruh sistem Ar-Rahnu di Malaysia hari ini.
"Kini, operasi ar-Rahnu diuruskan oleh MAIDAM Property Sdn. Bhd (anak syarikat MAIDAM yang ditubuhkan pada 8 Oktober
2018) dengan perbelanjaan lebih kurang RM130 juta setahun serta pengenalan produk inovasi seperti KHAIRAT2U," ujarnya.
Selain itu, MAIDAM turut memberi fokus kepada aspek keberkesanan organisasi melalui penguatkuasaan undang-undang, pemantapan tadbir urus dan integriti serta komunikasi strategik.
"Segala kekurangan dan kelemahan yang dikenal pasti sepanjang usia 75 tahun
telah, sedang dan akan melalui proses mitigasi dan selanjutnya penyelesaian.
"Ikhtiar ini telah membolehkan MAIDAM meraih Pingat Perak Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah Kebangsaan Tahun 2023 anjuran Institut Integriti
Malaysia," ujarnya.
Shaikh Harun berkata, ketiga-tiga pencapaian utama ini memberi petunjuk bahawa MAIDAM berada pada landasan yang betul dalam membangun ummah dinamik serta meningkat syiar Islam menerusi visi dan misinya.