SERDANG, 24 April – Permohonan bantuan tunai ‘one-off’ i-Perantau untuk rakyat Terengganu di perantauan mula dibuka hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata kali ini kerajaan memperuntukkan hampir RM1.5 juta bagi dana khas tersebut yang bakal memberi manfaat kepada 5,000 orang ketua isi rumah.
“Syarat permohonan i-Perantau adalah seperti i-Fitri iaitu bagi ketua isi rumah yang mengundi di Terengganu berpendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah.
“Saya ingin mengingatkan kepada semua perantau yang layak untuk membuat permohonan secara ‘online’ segera bermula esok (hari ini),” ujarnya kepada pemberita.
Hanafiah turut memaklumkan bahawa bayaran pertama i-Perantau akan mula dibuat pada 15 Mei bermula di zon Lembah Klang serta disusuli zon lain termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Kita akan kumpulkan seramai mungkin penerima di Lembah klang dan saya sendiri akan hadir bagi sempurnakan agihan tersebut,"ujarnya lagi.
Inisiatif tersebut diumumkan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam ucapan perasmian Majlis Berbuka Puasa Anak Terengganu Di Perantauan Bersama Kepimpinan Kerajaan negeri di MAEPS, Serdang di sini semalam.
Permohonan i-Perantau boleh mula dibuat dengan melayari pautan ibantuan.terengganu.gov.my dan akan ditutup pada 7 Mei.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai mengambil kesempatan untuk mengalu-alukan kepulangan para perantau ke Terengganu bagi sambutan Aidilfitri dan berpesan agar berhati-hati dalam perjalanan.