Wan Sukairi menunjukkan poster hebahan untuk memohon lesen motosikal. |
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah mensasarkan 25,000 belia dan beliawanis yang berumur antara 16 hingga 40 tahun akan mendapat manfaat daripada Program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) yang digerakkan bagi meringankan bebanan keluarga.
Katanya, permohonan melalui dalam talian dan secara manual akan mula dibuka 1 Februari hingga 1 Mac depan bagi membolehkan proses seterusnya berjalan lancar.
“Mulai1 Februari 2019, kita akan mulakan proses pendaftaran semua mereka yang layak untuk menyertai program lesen percuma ini di mana pendaftaran dibuka selama sebulan.
“Pada bulan ini juga kita akan mengadakan mesyuarat akhir dengan semua agensi yang terlibat di dalam pelaksanaan program ini dan mengiklankan melalui web, online dan juga mengedarkan borang secara manual kepada seluruh Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kawasan masing-masing.
“Semua peserta boleh hantar borang yang diisi secara manual dan online kepada MPKK, Pejabat DUN dan i-MiTS berdekatan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN), di Wisma Darul Iman, hari ini.
Wan Sukairi berkata, setelah selesai urusan permohonanan, pendaftaran dan lain-lain, pihaknya menjangkakan peserta yang layak akan diberikan baucer pada 15 April ini untuk dibawa ke Institut Memandu yang akan mendaftarkan mereka sebagai pelatih bagi menduduki peperiksaan dan menjalani latihan sehinggalah mereka lulus dan mendapat lesen motosikal B2.
Katanya, peserta LMTS juga akan dilindungi takaful selama setahun setelah berjaya memiliki lesen motosikal masing-masing.
Menurut beliau, menerusi pembentangan Bajet 2019, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM7 juta bagi bantuan mendapatkan lesen motosikal untuk golongan belia.