• 23 Okt 2024 | 20 Rabiul Akhir 1446

Persatuan OKU Sertai Perarakan Kemerdekaan

KUALA TERENGGANU, 29 Ogos- Sambutan Hari Kebangsaan kali ini amat istimewa buat 110 ahli kontinjen Majlis Tindakan Orang kurang Upaya (OKU) Negeri Terengganu (MTOT) apabila julung kalinya terpilih menyertai perarakan, 31 Ogos ini.

Keanggotaan MTOT terdiri daripada tujuh Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) OKU iaitu Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Cawangan Terengganu, Persatuan Pembangunan Orang Kurang Upaya Anggota Terengganu (POKUAT), Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Terengganu.

Selain Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT), Persatuan Autisme Terengganu (PAUT), Persatuan Anak Istimewa Sindrom Down Itqan Terengganu (ITQAN TERENGGANU) dan Persatuan Kebajikan Anak Permata Syurga (APS).

Bagi Fakhruddin Zakaria yang juga Presiden Persatuan Pembangunan Orang Kurang Upaya Anggota Terengganu (POKUAT) berkata, walaupun berkerusi roda beliau tetap bersemangat meraikan program sempena bulan kebangsaan itu.

“Ini adalah pengalaman pertama saya menyertai perarakan sempena hari kemerdekaan dan perasaannya sangat bangga serta teruja kerana dapat bersama-sama menyemai semangat patriotik dalam menzahirkan rasa cinta kepada negara.

“Sebelum ini ada dari kalangan kami yang pernah menyertai perarakan tetapi tahun ini lebih bermakna kerana semuanya berada di bawah satu ‘payung’ hasil gabungan semua kategori OKU di bawah MTOT,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada raptai penuh Perbarisan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Shahbandar, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim memaklumkan, penubuhan MTOT pada 6 Mac lalu bertujuan mewujudkan kolaboratif multi sektoral dalam usaha memberi perlindungan, pendididikan, rehabilitasi dan pembangunan kepada OKU demi kepentingan dan kesejahteraan golongan ini.

“Kita juga ingin memastikan OKU mendapat kesaksamaan hak dan peluang bagi penyertaan penuh dalam masyarakat,” ujarnya.