Persediaan Rapi Syarat Kejayaan
Oleh: Ahmad Syahid Adnan
KEMAMAN - Persiapan rapi menjadi syarat utama jika pelajar mahu mencapai kejayaan kerana ianya pasti dapat mempengaruhi emosi dan tindakan yang lebih tepat serta betul, demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi.
Katanya, sangat penting jika pelajar dengan melakukan ulang kaji bagi mempersiapkan diri dari segi psikologi mental dan fizikal sebelum menduduki peperiksaan.
"Persiapan menggunakan mekanisme pembelajaran yang sesuai boleh membantu pelajar lebih bersedia dan tidak terganggu menjelang atau ketika menghadapi peperiksaan dan dengan izin Allah, persediaan yang rapi akan memudahkan kita mendapat keputusan yang terbaik.
"Kalau semua dah bersedia, insya-Allah kita boleh jawab dengan tenang," ujar Ir Saiful Azmi.
Beliau berkata demikian kepada 171 orang pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) di samping memberikan nasihat serta kata-kata semangat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badrul Alam Shah (BAS), di sini, 3 Oktober.
Turut hadir Pengetua SMK BAS, Md Nazeri Hassan serta Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Haji Zakaria Mohammad.
Tambahnya lagi, pun begitu walaupun persediaan tidak mencukupi, mereka tidak perlu merasa susah hati tetapi mesti meneruskan perjuangan mereka dalam PT3.
"Kalau kita tak cukup (persediaan) lagi, jangan gelabah, jawablah dengan sehabis baik mungkin kerana kalau kita 'gabra', dia jadi susah nak ingat maka buatlah persediaan yang rapi sebagaimana panduan yang telah ditetapkan guru.
"Jangan (biasakan diri) tidur lewat malam kerana itu adalah antara perkara (yang menjadikan) kita susah nak jawab adalah kesihatan kita dan kepada semua saya doakan semua boleh menjawab sebaik mungkin dan semoga kita diberikan ketenangan oleh-Nya,"katanya.