• 17 Sept 2024 | 13 Rabiul Awal 1446

Peruntukan RM5 Juta Bagi Bangunkan Industri Asas Tani



Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 29 Januari – Kerajaan negeri memperuntukkan  sebanyak RM5 juta dalam Skim Bantuan Modal Tani untuk dinikmati oleh seluruh rakyat Terengganu sebagai salah satu usaha membangunkan industri asas tani.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata skim ini cukup istimewa kepada mereka yang berminat  kerana ia berbentuk pinjaman tanpa faedah.

"Memang betul-betul tanpa faedah… pinjam RM2000, bayar RM2000. Tiada cas tersembunyi walaupun pada asasnya kita akan bagi dalam bentuk kelengkapan barangan asas yang diperlukan untuk memerlukan kerja tetapi akan dipertimbangkan sekiranya diperlukan dalam bentuk wang.

“Selain itu, kadar pinjaman tersedia sehingga RM50,000 dan tempoh bayaran bergantung kepada jenis projek yang dilaksanakan.

"Contoh projek tanaman timun cina, dalam tempoh tiga bulan dah boleh kutip hasil. Mungkin tempoh tiga bulan dah boleh kutip hasil dan kemungkinan tempoh bayaran balik selepas tiga atau empat bulan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Skim Bantuan Modal Tani di Dewan Sivik Jabi, di sini petang semalam.


Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, cetusan idea ini merupakan hasil inisiatif selepas turun padang memberi penerangan tentang peluang yang ada di Terengganu selepas peralihan kerajaan ini.

Jelasnya, selepas program turun padang, pihaknya dapat mengesan  bahawa mereka yang terlibat dalam industri asas tani  terhalang untuk membangunkan usaha mereka kerana ketiadaan modal.

"Dengan berbekalkan semangat dan tenaga tanpa modal membuatkan rakyat termenung jadi tugas kita (kerajaan) kena selesaikan sehingga rakyat kembali senyum.

"Sekatan ini perlu dirungkaikan dengan cara  yang paling mudah, tidak membebankan dengan syarat-syarat minima terutama diperingkat kampung kebiasaannya tidak lepas untuk membuat pinjaman bank kerana terikat dengan akta dan peraturan perbankan,”katanya lagi.

Beliau turut menyeru agar rakyat Terengganu mengambil peluang terhadap kemudahan yang disediakan sebaiknya sedangkan ada yang mengintai peluang untuk direbut kerana pelbagai projek boleh dijalankan samada dalam sektor pertanian, penternakan atau perikanan yang merupakan skop kerja yang begitu luas untuk diceburi.

"Tanamlah apa yang nak ditanam, asal tanaman tidak menyalahi undang-undang. Kepada orang muda, jangan tanam anggur,” ujar beliau dengan nada bergurau .

Tambahnya lagi,  peningkatan ilmu kemahiran akan terus ditingkatkan dengan menghadiri kursus yang disediakan melalui Jabatan Pertanian seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Veterinar dan lain-lain lagi.

Tag: