Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Tahun 2018 bakal melabuhkan tirai tidak lama lagi. Kehadiran tahun baharu 2019 pula dijangka akan membawa lebih banyak kejutan buat rakyat Malaysia terutama di Terengganu. Pelbagai peristiwa kejutan sepanjang 2018 masih hangat diperkatakan baik di dada akhbar mahupun media sosial.
Pertukaran pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam PRU-14 yang lalu sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan ternyata telah mengubah landskap politik dan dasar-dasar negara. Ucapan tahniah dan terima kasih buat semua pengundi di Malaysia khususnya pengundi yang memberi kepercayaan kepada PAS sehingga berjaya mentadbir Kelantan dan Terengganu. PAS membawa pendekatan budaya politik at-ta’awun akan sentiasa menghormati pilihan rakyat dan menekankan pendekatan berhikmah dalam pentadbiran, membetulkan apa yang salah dan menambahbaik perkara yang sedia ada.
Namun di sebalik kejayaan ini muncul pula cabaran baharu yang cuba mengusik keharmonian bermasyarakat di Malaysia. Isu ICERD, LGBT dan kelemahan pihak bertanggungjawab dalam menangani rusuhan kuil sehingga mengorbankan insan yang tidak bersalah amatlah mengecewakan. Umat Islam di Malaysia juga berhadapan dengan cabaran Islamofobia dan hak-hak orang Melayu Bumiputera juga mula dipersoalkan.
Sebagai sebuah gerakan Islam yang meletakkan Islam sebagai sistem pemerintahan, PAS dengan pendekatan Islam Memimpin akan berusaha memperbetulkan kembali kekeliruan dan manipulasi yang dicetus oleh musuh Islam terhadap rakyat berbilang kaum di Malaysia. Tahun 2019 bakal menjadi permulaan buat semua rakyat Malaysia untuk mencari kebenaran dan menjadi lebih matang dalam hal-hal politik di Malaysia, lalu menzahirkan kembali kekuatan rakyat yang menolak salah laku, rasuah dan penyelewengan dalam pentadbiran.
Satu pengiktirafan buat tenaga pengajar di Malaysia apabila bancian pendidikan global oleh University of Cambridge mendapati guru kita sukakan pekerjaan mereka dan sangat berdedikasi dalam memastikan kecemerlangan para pelajar.
Maksud sabda Nabi Muhammad SAW: “Jadilah engkau orang berilmu, atau orang yang menuntut ilmu, atau orang yang mahu mendengarkan ilmu, atau orang yang menyukai ilmu. Dan janganlah engkau menjadi orang yang kelima, maka kamu akan celaka.” [HR. Baihaqi]
Penubuhan rangkaian pendidikan seperti PASTI, Dar, Sekolah Menengah Islam, Kolej Islam dan yang terkini Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) akan menjadi satu medan dalam melahirkan amilin yang bersungguh-sungguh dalam mendaulatkan Islam. PAS meletakkan pendidikan sebagai satu dakwah dan telah menjadi suatu kewajipan bagi PAS untuk memastikan semua orang terutamanya anak-anak orang Islam mendapat pendidikan Islam yang sebenar.
Justeru itu, walau siapa pun kita dan di mana kita berada, sentiasalah kita ingat Islam harus memimpin. Bersedialah menghadapi cabaran dan istiqamahlah dalam perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Gunakanlah mandat yang kita ada ini untuk menjaga kebajikan ummah dan juga rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang. Setiap orang Islam seharusnya ingat yang suatu hari nanti kita akan dihimpunkan di hadapan Allah SWT untuk diadili setiap perbuatan kita.
Mewakili Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, saya serta pimpinan pelbagai peringkat, mengajak seluruh rakyat Terengganu tanpa mengira fahaman politik agar bersama-sama menyokong penuh usaha kerajaan Negeri Terengganu di bawah PAS dalam menjayakan model pembangunan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030). Diharap melalui kejayaan PITAS 2030 ini nanti, rakyat Malaysia bakal melihat satu perubahan besar hasil daripada pemerintahan Islam di Malaysia.
Selamat menyambut tahun baharu 2019 kepada semua rakyat negeri Terengganu dan selamat kembali ke sekolah buat para guru dan pelajar persekolahan sesi 2019.
“ ISLAM MEMIMPIN “
YB SENATOR DATO’ HAJI HUSAIN BIN AWANG
Ahli Dewan Negara
31 Disember 2018 bersamaan 23 Rabiul Akhir 1440H