Ahmad Razif berbual mesra dengan Muhammad Amirul. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail |
Masalah jantung yang kritikal dihadapi Muhammad Amirul Mukmin Nasrulhaq Zamri, tidak menghalang hasrat kanak-kanak itu memasuki Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal, Kuala Nerus pada sesi persekolahan 2018 yang bermula semalam.
Bagaimanapun menyedari kesulitan dan penyakit yang ditanggung kanak-kanak tabah itu, pengurusan sekolah mengambil langkah awal dengan memberi lebih perhatian kepadanya.
Guru Besar sekolah itu, Aznordin Jahan berkata, guru kelas sudah dimaklumkan mengenai masalah yang dihadapi murid berkenaan supaya pengawasan dan pemantauan diberikan lebih kepadanya.
Katanya, masalah yang dihadapinya menyebabkan murid itu tidak boleh terlalu aktif bagi mengelak pendarahan hidung serta telinga sekiranya terjatuh.
"Pihak sekolah akan memandang serius dan semua guru telah dimaklumkan agar sentiasa memberi perhatian kepada murid ini.
"Kita juga akan pastikan dia dapat belajar dengan selesa dan selamat sepanjang berada di sekolah,"katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman, di sekolah itu, pagi semalam
Katanya, meskipun Muhammad Amirul merupakan murid istimewa pertama yang pernah memasuki sekolah berkenaan, namun ia bukan sesuatu yang membebankan.
"Kita menerima semua murid yang memasuki sekolah ini dengan hati terbuka dan gembira dengan harapan mereka dapat belajar dengan dan sempurna,"katanya.
Muhammad Amirul Mukmin Nasrulhaq antara 163 murid Tahun Satu yang mendaftar di SK Tok Jembal bagi sesi persekolahan tahun ini.