Pesara Guru Besar Pilih SRIDI Untuk Cucu Tercinta

ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong meninjau suasana pendaftaran di SRIDI, Binjai Rendah, Marang
Oleh : Aziz Hambali

MARANG, 27 Disember - Seorang pesara guru besar, Mohd Sidek Besar, 61, sangat terharu dan teruja kerana cucunya terpilih untuk memasuki Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI), di sini, pada sesi baharu persekolahan 2019 yang bermula Selasa ini.

Menurut Sidek, SRIDI menjadi pilihan berdasarkan kokurikulum yang disediakan di pusat pendidikan itu begitu seimbang serta berteraskan pendidikan agama.

"InsyaAllah di sini akan membentuk satu generasi yang mantap. Bukan sahaja dari segi inteleknya tetapi sahsiahnya, itu yang paling penting. Menjadi insan yang kuat pada masa akan datang.

"Kita (ibu bapa) berharap supaya semua tenaga penggerak SRIDI melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh pihak kerajaan sebaik mungkin. Saya percaya, jika tugas itu dilaksanakan dengan baik, insyaAllah SRIDI akan menjadi rebutan oleh ibu bapa pada masa akan datang" katanya.



Majlis pendaftaran pelajar SRIDI sesi 2019 dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong di Bangunan Sekolah Rendah Islam Darul Iman, Binjai Rendah, Marang, semalam.

Sementara itu, Sulaiman bersyukur kerana agenda besar kerajaan negeri dalam bidang pendidikan dan membangunkan modal insan yang bertakwa dan diberkati Allah SWT dapat dilaksanakan dengan penubuhan SRIDI.

Katanya, kerajaan negeri bercadang untuk membangunkan sekolah berkenaan di setiap DUN dan setiap daerah pula dibangunkan Sekolah Menengah Islam Darul Iman(SMIDI) yang melibatkan kos yang besar sehingga mencapai RM300 juta.

"ROI (Return On Investment) ia akan balik semula kepada kerajaan negeri. Justeru itu, kita ingin membina modal insan dengan apa yang Nabi SAW asaskan kepada umatnya. Modal insan yang kita ingin bangunkan ini adalah modal insan yang yakin kepada Allah Taala.

"Selain itu, kurikulum yang ada di SRIDI adalah kurikulum DAR (Kurikulum Sekolah Agama Terengganu) yang merentas, bukan yang diambil daripada kertas..iaitu anak-anak bukan sahaja menguasai ABC, 123 sahaja. Tetapi, di sana ada hubungan roh yang kuat dengan PenciptaNya," tambahnya lagi.

Sebelum itu, Guru Besar SRIDI Binjai Rendah, Norihan Mansor, 50, berkata beliau dengan dibantu tujuh tenaga pengajar termasuk Penolong Kanan akan cuba melaksanakan kaedah terbaik untuk proses pembelajaran dan suaikenal murid baharu itu.

"Dari semasa ke semasa akan tambah baik mana yang masih tidak lengkap.

"Sekolah kita ada gaya elit sikit, dan insyaAllah seramai 50 orang pelajar yang terdiri daripada 25 orang lelaki dan perempuan akan memulakan sesi persekolahan bermula 1 Januari 2019", ujarnya.


Tag: