Pesawah Jelapang Dapat Hak Milik Tanah

Dr. Azman berusaha menyelesaikan masalah pemilikan tanah sawah Kampung Jelapang dalam penggal ini.



Dzakaria Mohd Salleh
Foto : Hidayah Azlin & Ariss Alias

SETIU, 13 Mac- Masalah pemilikan tanah sawah yang dihadapi petani Kampung Jelapang, Langkap sejak sekian lama akan diselesaikan secara berperingkat oleh kerajaan Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, para petani yang meneroka tanah tersebut sejak tahun 70-an sememangnya layak diberikan hak milik tanah.

“Tanah padi di Jelapang akan dibahagi kepada dua bahagian. Pertama, tanah yang diteroka oleh peneroka sejak dari tahun 70-an dan yang kedua terdiri daripada kawasan tanaman yang baru dibuka oleh kerjaan.

“Bagi tanah asal yang telah diteroka, kita boleh terus memberikan hak milik kepada mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Dialog Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa bersama para petani sekitar kawasan Langkap di Pejabat Tapak Skim Pengairan Jelapang, semalam.
 
Majlis Dialog bina kesefahaman antara rakyat dan kerajaan negeri.
Seramai 150 orang petani daripada Kampung Jelapang, Kampung Bukit Layat dan Kampung Bukit Putera hadir dalam pertemuan dua hala tersebut.

Hadir sama, pegawai dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri, Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang, Beras Nasional (BERNAS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Setiu.

Menurut Dr. Azman, pihaknya akan menyelesaikan masalah itu secara berperingkat berikutan terdapat beberapa isu teknikal yang perlu diperhalusi terutama keperluan untuk mengenal pasti pemilik asal tanah itu. 

Namun, kata beliau, dengan kerjasama dari semua pihak, beliau yakin isu-isu rumit itu boleh diselesaikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu turut memaklumkan, tanah-tanah yang dibuka oleh kerajaan pula akan diberikan kepada peserta dalam bentuk sewaan, dengan setiap lot berkeluasan kira-kira 10 ekar.

Sebelum itu menurutnya, satu semakan untuk tujuan proses pemutihan akan dilakukan, bagi memastikan, mereka yang layak dapat memilikinya.


"Kita mahu kawasan yang berada di bawah Skim Pengairan Jelapang dengan keluasan 735 hektar ini benar-benar membangun sebagai kawasan pengeluaran padi utama yang akhirnya akan menjadi sumber jaminan makanan (Food Security) bagi kerajaan negeri Terengganu," katanya.

Untuk rekod, pada tahun 2009 kerajaan Pesekutuan telah mewartakan kawasan berkenaan sebagai Jelapang Padi Nasional dan mengumumkan usaha untuk memajukan kawasan baharu seluas 400 hektar tanah dengan kos sebanyak kira-kira RM46.5 juta bagi menjayakan projek terbabit.

Namun, masalah pemilikan tanah, sistem pengairan yang tidak sempurna, potongan hasil padi serta subsidi skim harga padi menyebabkan industri berkenaan mengalami kerugian.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan akan tuurut menyelesaikan masalah-masalah berkaitan pengeluaran padi di kawasan itu.

"Kita akan letakkan satu sasaran dalam tempoh sepenggal ini untuk kita usahakannya.

“Saya rasa ia satu sasaran yang munasabah dalam ruang lingkup  kita sebagai pemegang amanah rakyat," katanya lagi.















Tag: