Mona Rasidah Abdul Rashid dalam saingn kejohanan luncur ombak COMPLOT 2.0 anjuran Persatuan Luncur Ombak Terengganu (PLOT) semalam. |
Oleh: Wan Luqman Hakim
KUALA TERENGGANU, 13 Januari - Mona Rasidah Abdul Rashid, 33, membuktikan penampilan bertudung bukan halangan untuk golongan hawa menceburi sukan luncur ombak.
KUALA TERENGGANU, 13 Januari - Mona Rasidah Abdul Rashid, 33, membuktikan penampilan bertudung bukan halangan untuk golongan hawa menceburi sukan luncur ombak.
Anak jati Kampung Selamat, Kuantan, Pahang ini berkata, pakaian patuh syariah tidak menjejaskan prestasinya malah, memberi lebih keselesaan dan keyakinan ketika meluncur.
Lebih manis, Mona Rasidah yang merupakan satu-satunya peserta wanita bertudung dalam kejohanan luncur ombak COMPLOT 2.0 anjuran Persatuan Luncur Ombak Terengganu (PLOT) di Pantai Batu Buruk di sini berjaya mengetepikan peserta lain apabila dinobatkan sebagai juara kategori terbuka wanita.
"Bagi saya, pemakaian hijab untuk sukan ekstrem 'surfing' ini tidak langsung menghalang saya. Saya tidak melepaskan hijab ini kerana ia amat selamat. Sebelum ini saya tidak berhijab, tapi selepas berhijab, saya lebih yakin bahawa ia selamat.
"Apabila tidak berhijab, rambut akan mengganggu penglihatan dan muka. Adakalanya ia membuatkan kita sukar untuk bernafas. Jadi bila kita berhijab, alhamdulillah ia menjadi selesa dan selamat," katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis penyampaian hadiah kejohanan itu, di sini petang semalam.
Hadiah kepada peserta disampaikan oleh Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibnu Amin Busu.
Mona Rasidah memberitahu, kejayaan terbaharu itu merupakan yang keempat selepas kemenangannya dalam kejohanan luncur ombak di Pulau Tioman dan Terengganu sebelum ini.
Dia yang menceburi sukan air itu sejak 2010 berkata, minatnya timbul selepas melihat kalangan rakan lelakinya di kampung meluncur ombak.
"Rumah saya dekat dengan pantai dan bila tengok ramai rakan sekampung meluncur di Pantai Teluk Cempedak, timbul keinginan untuk turut sama jadi peluncur.
"Apabila sudah selalu berlatih, perlahan-lahan saya dapat mengatasi rasa takut dengan ombak dan akhirnya lebih yakin untuk mengawal situasi," katanya.