Pesona Tasik Kenyir
Dato' Muda (lima dari kanan) bersama sebahagian peserta lawatan kerja ke Tasik Kenyir, baru-baru ini. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail |
Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM) mengambil inisiatif menganjurkan lawatan kerja dua hari satu malam di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu bagi melahirkan solidariti di kalangan pengamal media dan memperkasakan bidang komunikasi.
Program julung kali itu melibatkan kakitangan yang mewakili semua unit di UKOM dengan pelbagai pengisian dan aktiviti termasuk melawat Santuari Kelah, Air Terjun Lasir dan Taman Herba bagi meninjau lebih dekat tarikan pelancong dan keistimewaan yang terdapat di tasik buatan manusia itu.
Pengarahnya, Dato' Muda Mamat berkata, destinasi itu menjadi antara pusat rekreasi dan riadah terbaik yang terdapat di negara ini dan Terengganu khasnya.
Katanya, sebagai peneraju unit media rasmi kerajaan negeri, lawatan kerja itu amat relevan sebagai platform untuk UKOM menyebar luas dan mempromosikan tarikan yang ada di Terengganu berdasarkan pengalaman sendiri.
''Lawatan yang disertai kakitangan saya dengan menaiki dan bermalam di rumah bot di tengah-tengah tasik buatan terbesar itu cukup mengujakan dan memberi pengalaman berbeza .
"Ianya memberikan satu pengalaman yang cukup menarik untuk saya dan juga kepada kakitangan UKOM yang turut serta. Lawatan sambil belajar tanpa gajet cukup bermakna kerana dapat mengeratkan silaturahim antara saya dan mereka yang turut serta dalam program yang santai ini,"katanya.
Muda berkata, lawatan itu memberi peluang untuk meneroka keindahan alam yang belum tercemar, mengenali spesies tanaman herba dan mencuba minuman herba yang disediakan secara percuma kepada pengunjung di Taman Herba.
Tambahnya, selain bermalam, rombongannya turut dibawa mandi-manda di kawasan Air Terjun Lasir dan bermain dengan ikan kelah di Santuari Kelah, Sungai Petang.
" Walaupun terpaksa berjalan sejauh dua kilometer untuk sampai ke destinasinya rasa penat itu hilang apabila dapat melihat ribuan spesies kelah jinak mengerumuni ,” ujarnya yang kagum dengan flora dan fauna di tasik itu.
Seorang peserta, Zatini Yan 35, yang pertama kali menyertai program berkenaan berkata, kemudahan asas seperti tandas, penyediaan makanan dan tempat tidur yang ringkas namun lengkap sudah memadai untuknya sepanjang dua hari satu malam di rumah bot.
“Kemudahan serba lengkap seperti set karaoke, televisyen dan saluran Astro di rumah bot Arowana yang dilengkapi lapan bilik tidur seumpama berada di rumah sendiri serta amat memuaskan hati saya. InsyaAllah saya akan kembali lagi ke sini jika diberi peluang dan akan membawa keluarga untuk turut sama menikmati pesona Tasik Kenyir ini,” ujarnya.