Pesta Main Selut Jadi Tarikan Pelancongan Terengganu

BESUT, 18 Februari - Pesta Main Selut Bukit Tanah berpotensi dijadikan tarikan agro pelancongan berikutan keunikan yang ditampilkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, ia dibuktikan dengan kemeriahan acara basikal titi dalam penganjuran tahun lalu yang tular di seluruh negara.

Jelasnya, pesta itu boleh dibangunkan sebagai satu agro pelancongan dalam menyedarkan masyarakat tentang kepentingan industri penanaman padi negara.

"Dalam masa sama, kita jemput orang ramai turun ke sawah sebelum kita mulakan musim menanam.

"Setahun demi setahun kita menuju ke arah itu dan tidak mustahil kita mampu menjadikannya festival yang bukan setakat bertaraf nasional tetapi mungkin bertaraf antarabangsa.

"Ini kerana, pelancong-pelancong luar yang datang suka melihat keunikan budaya dan tradisi masyarakat," katanya.

Dr Azman menunjukkan kebolehannya bermain bola dalam lumpur.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam pesta yang berlangsung di Baruh Padi Gong Telikung, semalam.

Tambah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri itu, pesta berkenaan dianjurkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dibantu pelbagai badan komuniti sebagai usaha menghimpunkan masyarakat kampung dalam suasana santai di kawasan jelapang makanan Terengganu.

"Acara tanpa batas sempadan usia ini nampaknya berjaya menyatukan masyarakat dalam suasana harmoni dan merapatkan ukhuwah.

"Kita kembalikan memori alam kanak-kanak yang penuh keriangan dengan pelbagai acara antaranya bola sawah, 'igak' itik, 'gagau' ikan, basikal titi, pukul bantal, tarik upih, memancing dan beberapa lagi.

"Insya-Allah, kita akan jadikan acara tahunan sebelum musim menanam padi baru," katanya.

Antara acara yang menarik perhatian ramai.

Dalam pada itu, pengerusi JPKK Kg Bukit Tanah, Muhammad Shairi Othman berkata, penganjuran edisi kedua itu ternyata lebih meriah dengan kehadiran sekitar 500 warga kampung.

"Alhamdulillah semua boleh 'mari belaka' kerana program begini tidak ada sekatan berdasarkan warna politik.

"Sebelum ini mudah dah (bekerjasama di kalangan penduduk), tetapi kalau ada program sebegini akan memudahkan lagi kerja-kerja JPKK dalam menguruskan kampung tambah-tambah YB kawasan juga mudah dan sentiasa bersama masyarakat," katanya.

Program setengah hari itu juga disertai 15 anggota dan tiga pegawai Batalion Kedua, Rejimen 512 Askar Wataniah Kem Sri Tembila yang mengadakan pameran dan dorongan kepada anak-anak muda kampung untuk menyertai pasukan itu selain turut menyertai acara yang diadakan.

Lawan tarik tali dalam lumpur agak sukar untuk menentukan pemenang.

 

 


Tag: