Pesta Peranakan Terengganu 2017 Tonjol Kelainan

Dato' Low (lima dari kiri) dan Tun Ahmad Faisal menunjukkan poster Festival Peranakan Terengganu yang bakal berlangsung pada 25 Ogos ini. Foto oleh Harish Fadzillah Kassim.

Pesta Peranakan Terengganu 2017 yang akan berlangsung selama enam hari bermula 25 Ogos ini bakal menonjolkan keistimewaan masyarakat peranakan yang dikenali sebagai Mek dan Awang di Terengganu.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, festival anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu (TCCCI) memasuki edisi keempat.

Katanya, festival tersebut merupakan salah satu produk pelancongan yang berpotensi tinggi untuk diperkenalkan bukan sahaja kepada masyarakat di Terengganu malahan kepada masyarakat di seluruh Malaysia.

Tun Ahmad Faisal

“Festival peranakan ini adalah salah satunya festival peranakan yang dijalankan secara berjadual dan ianya tiada di negeri-negeri lain.

“Festival ini juga akan dapat menonjolkan keistimewaan masyarakat peranakan kerana satu masa dahulu masyarakat cina di Kampung Cina ini dikenali sebagai Mek dan Awang kerana mereka telah diasimilasi dalam masyarakat tempatan dari aspek loghat perbualan, makanan serta pakaian mereka yang tiada beza dengan masyarakat Terengganu lain,” katanya.

Beliau ditemui pemberita dalam majlis sidang media pra perasmian Festival Peranakan Terengganu 2017 di Kampung Cina, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir Presiden TCCCI, Dato’ Low Wan Cheong.

Dalam pada itu, Low berkata festival peranakan pada kali ini akan membawa sedikit kelainan untuk dipertontonkan kepada masyarakat di sekitar Terengganu selain pelancong-pelancong dari dalam dan luar Negara.

Dato' Low Wan Cheong

Katanya, perbincangan sering diadakan bagi mencari idea-idea serta strategi baru terutama dalam Visit Beautiful Terengganu yang sedang berlangsung di Terengganu.

“Antara elemen baru yang kita perkenalkan pada tahun ini adalah pavilion yang dilengkapi cahaya dan bunyi.

 “Kita juga mengambil konsep-konsep dari orang muda. Jadi kita ambil keputusan perkenalkan Wechat Stiker dengan membina ikon Mek Awang dan ianya memberi maklum balas yang amat positif,” katanya.

Tag: