KUALA TERENGGANU, 22 Ogos - Setelah dikunjungi oleh pelbagai peminat dan pengusaha pertanian, kini giliran Persatuan Isteri Wakil-wakil Rakyat Kedah (PIKAT) pula yang mengunjungi Pusat Informasi Pertanian Bandar milik Isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman di Seri Setia semalam.
Kunjungan hormat tersebut diketuai oleh Isteri Menteri Besar Kedah, Puan Jusmalailani Jusoh sendiri yang bersama-sama rombongan seramai hampir 24 orang.
Tuan Faizah berkata, beliau menyambut baik kedatangan rombongan ini ke negeri Terengganu kerana dengan pertemuan ini, akan memberi pelbagai manfaat dan kebaikan dari kedua-dua belah pihak.
"Di sini terdapat satu Pusat Informasi Pertanian Bandar yang diusahakan sendiri sebagai contoh dan kempen pertanian bandar di negeri Terengganu.
"Rasa teruja untuk menunjukkan hasil tanaman dan sayur-sayuran yang terdapat di sini, malah sesiapa yang datang ke sini, saya akan benarkan mereka membawa pulang dan mengambil hasil tersebut."
"Aktiviti tanaman ini juga boleh dipraktikkan di tempat atau rumah masing-masing sebagai menyokong aktiviti kempen pertanian bandar."
Beliau berkata ketika berucap dalam majlis kunjungan hormat tersebut di Kediaman Rasminya, Seri Setia.
Di samping itu, beliau yang juga Pengerusi Isteri Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa') sempat menunjukkan hasil seni lukisan, dan jahitan yang dihasilkan sendiri olehnya.