Pilihan Raya Kampus PSMZA Secara 'Online'
DUNGUN, 9 April - Umum mengetahui negara masih lagi dicengkam oleh pandemik COVID-19, namun begitu pemilihan majlis perwakilan pelajar di pusat-pusat pengajian tinggi (IPT) perlu diteruskan.
Tidak terkecuali Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) yang turut mengadakan Pilihanraya Kampus (PRK) secara atas talian.
Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PSMZA, Yaswadi Mat Yasim berkata, dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) PRK PSMZA dengan budaya normal baharu diadakan pada 7 April secara serentak di semua Politeknik dan Kolej Komuniti seluruh negara.
"Majlis pengumuman keputusan telah diadakan di Bilik Mesyuarat Utama pada sebelah petangnya selepas masa pengundian 'online' ditutup pada jam 4 petang," katanya.
Beliau memberitahu demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Sementara itu Pengarah PSMZA, Mohd Fikri Ismail merakamkan ucapan terima kasih kepada urusetia yang terdiri daripada pensyarah dan kakitangan di JHEP, PSMZA yang bertungkus lumus sehingga PRK dapat dilaksanakan dengan jayanya.
" Kepada calon pelajar yang menang tahniah diucapkan dan semoga dapat menjalankan amanah dengan sebaik mungkin di atas mandat yang diberi," katanya.